NOORKUMALASARI - JADIKAN KISAH SAYA TELADAN
Mar 28, '08
|
|
NOORKUMALASARI tetap memberikan pose yang menarik walaupun dunia model sudah jauh ditinggalkannya.
|
DI
awal penglibatannya sebagai artis sekitar awal tahun 70-an dulu, dia
diramal mampu melangkah jauh dalam industri perfileman tanah air.
Selain
daripada bakatnya yang menjadi perhatian, kejelitaan Noorkumalasari
juga dilihat sebagai aset untuk mara dalam gelanggang hiburan ketika
itu.
Sementelah
juga, dia memulakan kariernya sebagai seorang model di tanah
kelahirannya, Singapura, lalu tiada sebab dia mengecapi populariti yang
cukup luar biasa sepanjang bergelar anak seni.
Namun, kini, bidang seni dan juga limpahan glamor sudah jauh ditinggalkan.
Malah,
jika dipelawa untuk kembali aktif sebagai anak seni meskipun sudah
berubah imej, dengan pantas anak kepada seniman, Allahyarham Datuk
S.Roomai Noor dan seniwati Datin Umi Kalthum ini akan berkata tidak.
Bagaimanapun,
Noorkumalasari atau nama sebenarnya, Noor Kumalasari Mohd. Taib tidak
menolak seandainya jika ditawarkan untuk terlibat dalam sebarang
rancangan berbentuk dakwah yang mampu menjana minda dan mendidik
masyarakat khususnya remaja hari ini agar lebih menghargai hidup.
Mengakui
dia bukanlah arif dalam segenap aspek berhubung hukum hakam,
Noorkulamasari yang mesra disapa Noor memberitahu, selama menyepi dari
dunia hiburan dia banyak menelaah ilmu agama menerusi pembacaan hadis
dan Al-Quran.
“Seandainya
ditawarkan untuk menerajui rancangan bual bicara ini, saya lebih selesa
dan suka rancangan yang lebih santai namun dalam masa yang sama, mesej
sampai kepada penonton.
“Kita perlu faham dengan kerenah remaja hari ini yang tidak berapa gemar dengan rancangan agama yang terlalu serius.
“Zaman
sudah berubah dan selagi niat kita mahu mendidik dan memberikan
pengajaran kepada masyarakat, pelbagai cara boleh dilakukannya,” kata
Noor menyambung bicara.
Atas
sebab itu juga, katanya, yang mula mencipta nama menerusi watak Rohayu
dalam filem Menanti Hari Esok pada tahun 1977 itu, bersedia berkongsi
pengalaman transisi hidupnya sejak mula menjadi artis sehinggalah ke
kehidupannya hari ini menerusi rancangan Cerita Artis Malaysia (CAM)
terbitan Firdaus Maju Sdn. Bhd. (FMSB).
Program
yang diterbitkan dengan kerjasama Astro akan mula bersiaran pada 7
April depan menerusi saluran Ria (saluran 104, Astro).
“Saya
anggap ini semua sebagai satu pendekatan yang lembut dalam berdakwah.
Malah, apabila mereka datang kepada saya untuk memaparkan kisah hidup
saya, dengan hati yang terbuka, saya merelakan kisah saya dibuka semula.
“Saya
mahu apa yang telah terjadi dalam hidup saya dijadikan iktibar buat
generasi muda hari ini. Seandainya mereka menonton kisah saya kelak,
siapa tahu, mereka boleh berubah menjadi seorang yang lebih baik. Bukan
untuk sesiapa, tetapi untuk diri mereka juga,” kata adik kepada
penghibur tersohor, Anita Sarawak ini lagi.
Pengalaman
Noor
yang juga seorang primadona filem Melayu satu ketika dulu ini juga
dengan jujurnya memberitahu, dia tidak pernah menyesal dengan segala
tindakannya sewaktu menjadi anak seni satu ketika dulu.
Malah, katanya, itu semua menjadi pengalaman manis yang akan tetap terpahat dalam lipatan sejarah hidupnya.
“Sewaktu
menjadi artis dahulu, saya berasa begitu sunyi saat pulang ke rumah
lewat pagi seusai persembahan mahupun penggambaran drama mahupun filem.
“Walaupun waktu itu saya akui sering meninggalkan solat, tetapi hati saya tidak pernah lupa kepada Allah.
“Apa
yang mampu saya katakan kepadaNya adalah seandainya saya bertemu jodoh
dengan seorang lelaki yang mampu membimbing saya ke arah kebaikan, saya
akan tinggalkan dunia seni dan menjadi seorang isteri solehah,”
ceritanya mengenai perubahan hidupnya yang tampil dengan imej bertudung
litup sejak 12 tahun lalu.
Namun begitu, wanita berusia 52 tahun ini menafikan suaminya, Wan Mohd. Yusof memaksanya tampil dengan imej bertudung litup itu.
“Dia
tidak pernah memaksa saya tetapi semuanya datang dari hati. Sudah Allah
tetapkan saya akan jadi begini. Suami saya banyak memberi galakan,
dorongan dan nasihat untuk saya agar sentiasa ingat akan diri dan tidak
terus alpa.
“Kalau hendak ikutkan, sewaktu kali pertama mengerjakan umrah, saya masih lagi tidak bertudung.
“Tetapi
selepas lapan bulan pulang daripada menunaikan fardu haji pada tahun
1997, barulah hati saya terbuka untuk memakai tudung dan tampil dengan
imej seperti hari ini. Saya memakai tudung bukan kerana sesiapa tetapi
semuanya kerana Allah,” tutur Noor yang kali terakhir beraksi di layar
lebar pada tahun 1992 menerusi filem Penghujung Malam penuh ramah.
Hasil
perkahwinan keduanya bersama Wan Mohd. Yusof, 57, pasangan itu
dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Wan Amin Nurrasyid, 16, Wan
Amni, 14, dan Wan Irfan Nurul Atiq, 12.
Menerusi
perkahwinan pertamanya dengan Allahyarham Roslan Onn, Noor mempunyai
seorang anak lelaki, Abdul Qayyum yang kini sudah pun berusia 25 tahun.
Ditanya
dengan soalan adakah dia kini sudah bergelar nenek, Noorkumalasari
memberitahu: “Dia (Qayyum) ada juga bawa pulang kawan-kawan perempuannya
dan diperkenalkan kepada saya. Tapi, entahlah, bila dia nak kahwin pun
saya tak tahu (ketawa). Saya sendiri tidak pernah memaksanya.”
Berbicara
mengenai anak sulungnya itu juga, tiba-tiba Noor sebak dan air mata
mula bergenang di kelopak matanya sehingga menyebabkan seniwati itu yang
mulanya cukup ramah melayan terpaksa berhenti seketika.
“Saya
tidak pernah mengharapkan balasan daripada Qayyum terhadap apa yang
telah saya lakukan kepadanya. Namun, apa yang menggembirakan saya
untuknya ialah dia tahu menjaga diri dan berjaya mendapatkan pekerjaan
untuk dia meneruskan kehidupannya.
“Suatu
hari, dia datang kepada saya dan menghulurkan sekeping sampul surat.
Apa yang mengejutkan saya, di dalamnya terkandung wang berjumlah
RM1,000.
“Kata
Qayyum itu adalah wang pertama untuk saya daripadanya hasil gaji
pertamanya,” ceritanya tentang perihal anak bujang kesayangannya itu.
Cukup
bahagia dan tenang dengan kehidupannya kini, sementelah suaminya juga
baru bersara, Noor memberitahu, hidupnya kini terisi dengan keletah
anak-anak dan menguruskan hal persekolahan mereka serta menghabiskan
masa bersama suami.
“Alhamdulillah,
mereka telah melengkapi hidup saya. Malah, hubungan kekeluargaan kami
juga semakin erat dan saya amat bersyukur dengan apa yang saya miliki
hari ini,” katanya yang juga pernah terkenal dengan watak Cikgu Sharina
menerusi filem Adik Manja arahan Othman Hafsham pada tahun 1979.
Namun
satu pintanya, seandainya dia sudah tiada lagi, dia memohon agar tiada
pihak yang akan menayangkan drama dan filem lakonannya serta memainkan
lagu-lagunya.
“Buat
masa ini, saya tidak kisah jika ada pihak yang mahu menayangkan dan
menyiarkan hasil kerja saya tetapi saya harap bila saya sudah tiada
nanti, usah diteruskan lagi,” katanya penuh mengharap. - UTUSAN MALAYSIA
http://miraks.multiply.com/journal/item/263/NOORKUMALASARI-JADIKAN-KISAH-SAYA-TELADAN?&item_id=263&view:replies=reverse&show_interstitial=1&u=%2Fjournal%2Fitem



Comments
Post a Comment