Bayi Dibuang Demi Maruah & Kehormatan?
(Artikel ini diterbitkan dalam Majalah SOLUSI tahun lepas)
Dalam kolum yang memberi fokus kepada isu menyantuni fitrah manusia,
penulis merasakan amat perlu disentuh fenomena pembuangan bayi yang
kerap dilaporkan di dada akhbar sejak kebelakangan ini. Menurut
statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM, sebanyak 79
kes pembuangan janin dan bayi dicatatkan sepanjang tahun 2009 sementara
45 kes lagi dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama 2010. Dari
bilangan tersebut, hanya 11 kes ( 14% ; 2009) dan 10 kes ( 22%; Jan –
Jun 2010) yang dianggap selesai oleh PDRM dengan berlakunya penangkapan
suspek yang didakwa membuang janin dan bayi tersebut, sementara majoriti
kes masih dalam siasatan. Kes pembuangan bayi juga telah menular ke
seluruh pelusuk tanahair, bukan hanya di bandar-bandar besar yang sering
dikaitkan dengan kadar gejala sosial yang tinggi. Gambar-gambar bayi
yang ditemui mati, reput dan terdampar meruntun dan menyayatkan hati,
menyebakkan dada dan menimbulkan kegelisahan serta kegusaran. Di manakah
hilangnya naluri kemanusiaan, fitrah suci naluri keibuan dan
kebijaksanaan akal yang dibekalkan Tuhan?
Apalah agaknya faktor paling utama yang mampu mendorong seorang ibu
hingga tergamak mengabai, membiar sedemikian rupa dan akhirnya
menyebabkan kematian bayi kecil yang baru dilahirkannya sendiri, tanpa
berpeluang menikmati kehidupan dan masa depan yang gemilang? Tidak
mungkin boleh diterima oleh akal yang waras, betapa seorang ibu tegar
melakukan semua itu. Lupakah siibu kepada Tuhan yang sedang
memerhatikan? Tidakkah dia meyakini akan perhitungan di Mahsyar kelak,
yang mana dia akan berdiri bersendirian di hadapan Allah Rabbul Jalil,
apabila didakwa memperlakukan bayi kecil tanpa dosa itu sedemikian
kejam.
Mengandung dan melahirkan anak bukanlah satu proses singkat dan sekelip
mata. Kehamilan mengambil masa berbulan-bulan. Seawal dua bulan
kehamilan, siibu akan dapat mengesan kelainan pada dirinya, loya tekak
dan keletihan yang luar biasa. Bila kandungan mencecah usia 20 minggu –
gerak janin mula dirasai ibu, melambangkan kehadiran seorang manusia
kecil yang tidak boleh dinafikan lagi. Sekalipun manusia lain di
sekeliling mungkin tidak mengetahui, wanita yang hamil itu pastinya tahu
keadaan dirinya yang sebenar. Mustahil sekiranya tidak muncul rasa
ingin tahu di hati sibakal ibu, bagaimana agaknya keadaan bayi dalam
kandungannya. Biar apapun keadaan dan situasi yang menjadi sebab musabab
kehamilan itu, naluri keibuan pastinya mendorong rasa sayang dan ikatan
kasih yang sukar digambarkan. Sekiranya kehamilan tersebut berlaku di
luar nikah yang sah, dillema mula melanda wanita yang hamil itu.
Persoalan demi persoalan bertubi-tubi menghantui minda - apa yang harus
dilakukannya, siapa yang harus diberitahu, bagaimanakah penerimaan dan
reaksi orang ramai apabila kehamilan tersebut tidak lagi mampu
dilindungi, di mana hendak melahirkan bayi tidak sah taraf ini, siapa
yang sudi memelihara dan menjaga bayi yang tidak dialu-alukan
kehadirannya? Betapa berat tanggungan fizikal, emosi dan spiritual yang
dipikul oleh wanita ini.
Di dalam Al-Quranul karim, Allah SWT merakamkan kebimbangan dan
kegusaran Maryam, seorang gadis suci, apabila dipilih Allah SWT menjadi
ibu kepada Nabi Isa AS, tanpa kehadiran seorang bapa sebagai tanda
kebesaran-Nya dalam surah Maryam ayat 19 – 23 yang mafhumnya :
19) `Dia (Jibril) berkata, Sesungguhnya aku adalah utusan Tuhanmu,
untuk menyampaikan anugerah kepadamu seorang anak lelaki yang suci.’
20) Dia (Maryam) berkata, `Bagaimana mungkin aku mempunyai anak
lelaki, padahal tidak pernah ada lelaki yang menyentuhku dan aku bukan
seorang penzina.’
21) Dia (Jibril) berkata , `Demikianlah.’ Tuhanmu berfirman, `Hal
itu mudah bagi-Ku, dan agar Kami menjadikannya suatu tanda (kebesaran
Allah) bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami, dan hal itu adalah
suatu urusan yang (sudah) diputuskan.
22)Maka dia (Maryam) mengandung, lalu dia mengasingkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh.
23) Kemudian rasa sakit hendak bersalin memaksanya (bersandar) pada
pangkal pohon kurma, dia (Maryam) berkata,`Wahai, betapa (baiknya) aku
mati sebelum ini, dan aku menjadi seorang yang tidak diperhatikan dan
dilupakan.’
Tentu sekali tidak tepat untuk membandingkan peristiwa kehamilan Maryam
dengan insiden kehamilan luar nikah yang menimpa ramai gadis belia
Muslim hari ini. Namun, apa yang boleh dijadikan iktibar di
sini, sekalipun peristiwa kehamilan Maryam adalah sebahagian petanda
kekuasaan dan keagungan Allah, namun sebagai seorang wanita biasa,
Maryam tetap mengalami tekanan emosi yang hebat bila tiba saat
melahirkan Nabi Isa AS. Bolehlah dibayangkan betapa berkecamuknya
perasaan dan ketakutan yang dirasai oleh wanita yang hamil di luar
pernikahan yang sah.
Dalam masyarakat yang masih menjunjung tinggi nilai budaya Timur, maruah
dan kehormatan diri individu dan keluarga menjadi satu perkara pokok
yang mesti dipertahankan. Peribahasa Melayu banyak menyentuh aspek
menjaga harga diri, maruah, kehormatan, kerahsiaan dan hal-ehwal menjaga
air muka, antaranya ` Membuka pekung di dada atau mencoreng arang di
muka’. Mungkinkah sikap ini yang menyebabkan remaja belia yang hamil,
merasa amat sukar untuk memberitahu dan berterus terang dengan ibu bapa
dan keluarga? Akibatnya, remaja tersebut bertindak menyembunyikan
kehamilannya, melahirkan secara senyap-senyap keseorangan dan nekad
membuang bayi yang dianggap bahan bukti kepada perlakuan maksiat di luar
batas peraturan agama. Ini mungkin satu penterjemahan paling hampir
kepada peribahasa : ` Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut!’
Dalam kemelut mencari penyelesaian masalah pembuangan bayi, terdapat
pandangan (khususnya dari kelompok liberal sekular) yang menyelar sikap
konservatif dan tradisionalis masyarakat Melayu Islam yang dianggap
kolot dan ketinggalan zaman, sebagai punca utama remaja hamil tidak
mendapatkan sokongan dan bantuan dan akhirnya terpaksa membuang bayi
mereka di merata tempat. Stigma dan cemuhan yang dilontarkan kepada
remaja hamil ini dikatakan menjadi sebab remaja ini disingkir dan
mengalami diskriminasi dari pelbagai pihak. Kelompok ini mendesak agar
anak remaja belia hari ini diajar menggunakan kaedah merancang keluarga
yang efektif, diberikan akses sepenuhnya kepada semua kaedah perancang
keluarga (kontraseptif) dengan percuma serta diwujudkan klinik
pengguguran(abortion clinics) untuk membolehkan remaja hamil
mendapat perkhidmatan menggugurkan kehamilan di peringkat awal.
Masyarakat juga diminta menerima hakikat bahawa inilah gaya hidup semasa
generasi muda yang tidak mahu dan tidak boleh dikongkong serta bebas
mengemudi arah hidupnya – semua disandarkan kepada perlunya menghormati
hak asasi (human rights) individu! Dalam konteks ini, adakah kita harus membiarkan anak remaja belia tenggelam menikmati `human rights’-nya, dan kemudiannya lemas tumpas bergelumang dengan `human wrong?. Dalam
masa yang sama, penulis berpendapat, hampir mustahil untuk memutar
kembali roda masa ke zaman silam, menuntut anak muda hari ini kembali
hidup dalam kongkongan tradisi keluarga dan komuniti. Malahan penulis
berpandangan, masalah pembuangan bayi adalah kemuncak manifestasi jurang
persepsi dan nilai hidup yang sedang berlaku dalam masyarakat amnya,
dan keluarga khususnya – di mana terdapatnya polariti antara sikap
liberal generasi muda dan sikap konservatif kelompok ibu bapa dan dewasa
senior!
Di sinilah letaknya keperluan mengembalikan keseimbangan (tawazun) yang
menjadi ciri utama cara hidup Islam yang diturunkan Allah SWT melalui
para rasul-Nya, untuk menyantuni fitrah manusia. Selepas gerakerja
pencegahan yang menterjemahkan usaha amar maaruf dilaksanakan sebaik
mungkin, Islam mewajibkan pula usaha nahi mungkar dalam bentuk rawatan
atau preskriptif bagi menangani perlanggaran yang telah berlaku.
Pendekatan dakwah yang diambil oleh Ar-Rasul SAW semasa mengendalikan
kes wanita Al-Ghamidiyah yang hamil lantaran zina – di mana baginda SAW
memberikan peluang agar bayi ( hasil perzinaan tersebut) yang dikandung
selamat dilahirkan dan sempurna penyusuannya, memberikan satu pengajaran
yang amat perlu diperhatikan oleh kita semua hari ini. Allah SWT
memberikan ruang dan peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri
sendiri selepas melalui liku hidup penuh dosa dan noda. Allah SWT juga
memperuntukkan masa untuk memulihkan iman, aqidah, motivasi dan semangat
untuk kembali patuh mengabdikan diri kepada-Nya. Remaja belia yang
hamil, mesti dibimbing dan diasuh kembali untuk bertaubat dan hidup
dengan aqidah yang soleh, akhlak yang mulia dan ukhuwwah yang mantap.
Remaja lelaki yang berzina dan pernah menghamilkan wanita lain, juga
amat perlu dibimbing untuk bertaubat dan kembali menjadi rijal yang
mampu memimpin ummah masa depan. Keluarga dan masyarakat yang gagal
membimbing dan melindungi generasi mudanya perlu terus diperkasa dengan
ilmu, pedoman dan maklumat yang betul. Keseimbangan ini hanya mampu kita
semua kecapi jika kita benar-benar bertekad dan mempunyai `political will’ untuk kembali menuruti setiap syariat Allah yang telah diperjelaskan.
Ayuh, galaslah tanggungjawab amar maaruf nahi mungkar ini bersama-sama.
Belum cukupkah lagi petanda kerosakan yang berlaku seharian di
sekeliling kita untuk mengejutkan kita dari kealpaan dan kelalaian,
bahawa setiap seorang kita mesti segera memikul tugas dakwah yang besar?
Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan keazaman untuk terus
berisitqamah di jalan-Nya.
Loves,
Dr. Har
http://drhar.blogspot.com/
Comments
Post a Comment