SOAL JAWAB AGAMA

 
Hukum menyimpan tabung gajah


Soalan 01
Apakah hukum menyimpan tabung gajah yang tidak berekor untuk tujuan menyimpan duit?
Jawapan
Hukum menyimpan tabung gajah atau tabung binatang yang lain, walaupun tidak berekor hukumnya haram sebagaimana haram membuatnya. Tetapi jikalau menyimpan itu untuk dipergunakan atau dihambakan seperti menggunakan untuk disimpan wang didalamnya, maka hukumnya harus.
 
Hukum bekerja di kilang membuat ukiran Patung


Soalan 02
Saya bekerja di kilang membuat ukiran yang berhubung dengan pembuatan patung, kerana tiada kerja lain yang boleh menampung nafkah hidup saya dan keluarga. Untuk mencari kerja lain agak sukar memandangkan keadaan hari ini yang tidak boleh memilih pekerjaan. Apa hukum dan pandangan Islam?

Jawapan :
Orang yang membuat patung pada hukum Islam adalah haram dan dosa besar. Dalam sebuah hadis yang berbunyi ertinya: 
"Daripada Ibni Umar r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda bahawasanya mereka yang membuat gambar-gambar ini (patung-patung) akan diazab pada hari kiamat, sambil dikatakan kepada mereka hidupkan apa yang kamu jadikan itu."
Daripada hadis tersebut maka dapatlah difahamkan bahawasanya membuat patung adalah dilarang keras. Apabila pekerjaan dilarang maka upah/gaji hasil dari pekerjaan itu adalah haram juga, kecuali apabila sampai ke peringkat darurat. Sekiranya jika ia tidak bekerja di situ maka menyebabkan ia tidak dapat hidup (makan) maka bolehlah ia bekerja sementara dapat kerja yang lain.
 
Upacara "larian obor"


Soalan 04
Saya menyertai satu aktiviti iaitu acara "larian obor" dengan niat untuk beriadah. Apa pandangannya dikacamata Islam?
Jawapan
Jika anda turut sama meraikan upacara "larian obor" dengan tidak niat membesar-besarkan dan memuja obor itu, tidaklah ada apa salahnya. Dengan syarat anda tidak melibatkan kesalahan-kesalahan yang lain seperti membuka aurat atau bercampur gaul dengan bebas di antara lelaki dengan perempuan dalam masa larian itu.Tetapi jika dalam larian itu anda berniat memuliakan, memuja, membesarkan obor itu atau dalam larian itu, berlaku pendedahan aurat atau bercampur gaul lelaki dengan perempuan, maka hukumnya haram. 
 
Hukum Membuat Kenduri Cukur Rambut


Soalan 05
Apakah hukum membuat kenduri "cukur rambut" anak yang baru di lahirkan dan bagaimana cara sebenarnya yang dituntut dalam Islam ?
Jawapan
Membuat kenduri "gugur rambut" bagi anak yang baru lahir hukumnya harus dan kenduri ini amatlah digalakkan dalam Islam.

Caranya ialah :
Pertama: Niat dan tujuan membuat kenduri ialah bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan cahayamata.
Kedua: Dicukur kepala anak itu kemudian ditimbang rambut anak itu dan kemudian bersedekah dengan emas atau wang sekadar mana dinilai rambut kanak-kanak tadi.
Ketiga: Membuat Aqiqah.(rujuk Soalan 30)
Keempat: Beri nama kepada anak tadi dengan nama-nama yang baik dan mulia.
 
Hukum menghadiri majlis keramaian yang berunsur maksiat


Soalan 06
Apakah hukum menghadiri majlis keramaian yang mempunyai unsur-unsur maksiat kerana memenuhi jemputan?
Jawapan
Tidak harus seseorang menghadiri sesuatu majlis yang banyak atau ada unsur-unsur maksiat untuk memenuhi jemputan semata-mata. Jika ia pergi juga maka berdosalah ia kecuali jika dengan pemergiannya ke majlis itu akan dapat mencegah maksiat yang ada di dalam majlis itu, maka bolehlah ia pergi, bahkan digalakkan ia pergi.
 
Persoalan mengenai amalan yang menjadi tradisi masyarakat


Soalan 07
  1. Di dalam masyarakat kita, bila ada kematian lazimnya pihak keluarga si mati mengadakan tahlil dan kenduri arwah pada hari ketiga, ketujuh dan keempat puluh dan sebagainya. Ada juga yang mengadakan bacaan Al-Quran dalam beberapa hari tertentu untuk dihadiahkan kepada si mati.
Soalan saya : Apakah hukum mengadakan amalan sedemikian dan sampaikah pahalanya kepada si mati.
  1. Di kampung saya, biasanya apabila ada kematian terutama orang tua, pada hari ke tujuh sebelah malamnya diadakan upacara memulih, yang mana seorang bomoh atau orang yang ahli dipanggil untuk melakukan upacara tersebut, tujuannya ialah supaya anak cucu dan kaum kerabat selamat sejahtera tidak mendapat apa-apa bala. Pada keesokkan harinya, semua yang terlibat dinasihatkan jangan turun ke tanah sebelum embun kering, kalau dilanggar pantang larang
    itu ditakuti mendapat bencana, Apakah pandangan datuk dalam masalah ini?

Jawapan
  1. Amalan sedemikian adalah baik dan digalakkan dan hukumnya sunat. Adapun doa-doa anda dan bacaan tahlil dan bacaan Al-Quran, Jika diniatkan sedekah pahalanya kepada si mati, insyaAllah sampai pahalanya kepada si mati. Cuma membuat kenduri itu janganlah ditentukan pada malam yang ketiga atau malam yang ketujuh atau seterusnya sebagaimana yang telah menjadi adat kepada setengah masyarakat, kerana menentukan pada malam-malam yang tersebut itu hukumnya bidaah mengikut pendapat setengah-setengah ulamak. Buatlah bila saja ada kemampuan dan kelapangan.

  2. Upacara yang anda sebutkan itu adalah merupakan suatu perkara bidaah yang tidak seharusnya diamalkan dan orang yang melakukan upacara yang tersebut dengan mengiktikadkan jika tidak ia berbuat demikian pasti akan ditimpa malapetaka maka boleh membawa kepada syirik.
     
    Menghalalkan sesuatu yang haram dan mengharamkan yang halal


    Soalan 09
    Assalamualaikum wrm wrbt.
    Apakah hukumnya seseorang yang mengharamkan sesuatu yang halal ataupun menghalalkan sesuatu yang haram? Jikalau pengharaman atau penghalalan ini dilakukan oleh sesuatu pertubuhan, misalnya jabatan kerajaan, bagaimana kah hukumannya? Apakah tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang atau sesuatu pertubuhan yang berkenaan jika terjadi berlakunya perbuatan maksiat/dosa akibat dari pengharaman atau penghalalan yang bercanggah dengan perintah Allah SWT itu? Adakah dosa seseorang individu itu dipikul sama oleh pihak yang mempertahankan pengharaman atau penghalalan itu?
    Jawapan
    i. Mengharamkan yang dihalalkan oleh Allah S.W.T. atau sebaliknya hukumnya MURTAD ( keluar daripada Agama Islam).
    ii. Jika dilakukan oleh Pertubuhan kita sebagai orang yang berada di dalam pertubuhan itu tidak boleh memberikan sokongan sama ada di segi material, moral, tenaga dan sebagainya. Jika kita memberikan sokongan maka kita akan bersama-sama dikenakan hukuman murtad.
     
    Memegang colok dan membakar kertas untuk membersihkan kubur


    Soalan 10
    Apakah hukumnya kalau pergi ke kubur cina, berniat untuk membersihkan kubur(ching ming) dan memegang colok serta membakar kertas-kertas dimana kertas tersebut adalah seumpama baju, kereta dan sebagainya. Tidak ada niat untuk sembahyang tetapi hanya niat untuk membersihkan dan memberi hormat kepada simati.?
    Jawapan
    Perbuatan itu adalah diharamkan oleh Islam kerana puan telah sedikit sebanyak mengikut cara agama tersebut dan Islam tidak menyuruh kita menghormati simati sehingga melakukan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah.

    Hukum memakai gelang kaki dan tangan berloceng


    Soalan 11
    Apakah hukumnya memakai dengan gelang kaki/tangan yang berloceng ?
    Jawapan:
    Merujuk kepada kitab Bahrul Mazi, (ringkasan Sahih al-Tamizi), memakai loceng adalah ditegah oleh syarak kerana bunyi loceng itu menyebabkan tiada malaikat Rahmat mendekatinya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa al-Tirmizi yang maksudnya:
    "Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tiada menyertai malaikat Rahmat bersama jamaah (kumpulan) yang ada di dalamnya anjing dan loceng"
    Oleh yang demikian, elakkanlah dari memakaikan gelang kaki/tangan yang ada loceng pada anak perempuan..

     http://soaljawab.jais.gov.my

Comments

Popular posts from this blog