Jemaah Haji
Asalamualaikum wbt.
Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian. Sebagai makluman kepada anda
semua, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di KLIA awal bulan November. Alhamdulliah, syukur kerana anda telah dapat menjadi tetamu
Allah dan mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur.
Kepulangan para jemaah haji semua sudah tentunya disambut gembira oleh
kaum keluarga dan sahabat handai dengan penuh rasa
kesyukuran. Sekiranya kita mempunyai saudara atau kenalan yang baru
pulang dari mengerjakan haji atau umrah, maka ziarahlah mereka jika anda
berpeluang, dan bertanyakanlah khabar Kota Makkah dan Madinah disamping
bertanyakan pengalaman mereka selama berada di tanah suci.
Sekurang-kurangnya ia dapat membantu meningkatkan lagi azam kita untuk
sama-sama mengerjakan haji atau umrah.
Pastinya setiap orang mempunyai 1001 macam cerita dan pengalaman semasa
mereka berada di sana, baik yang gembira, duka dan sebagainya, yang
pastinya tidak dapat dilupakan oleh mereka yang telah melaluinya.
Walaubagaimanapun di sebalik kegembiraan untuk pulang ke tanahair,
pastinya hati menjadi sayu dan sedih kerana terpaksa meninggalkan bumi
Makkah dan Madinah dan tidak tahu samada kita berpeluang untuk
menjejakkan lagi kaki kesana ataupun ini merupakan yang terakhir buat
kita. Pada saya inilah saat yang cukup sukar digambarkan kerana
terpaksa berpisah dengan Baitullah dan makam Rasulullah saw. Apa pun
marilah kita sama-sama berazam dan berdoa untuk menjejakkan lagi kaki
kita ke sana dan melaksanakan segala ibadah dengan lebih sempurna.
Apa pun kepada para jemaah haji yang telah pulang, marilah sama-sama
kita menabur bakti kepada masyarakat dengan berdakwah iaitu mengajak
manusia kepada kebaikan dan menjauhkan kemungkaran. Terdapat banyak
medium untuk kita semua berdakwah baik melalui Masjid/surau, NGO-NGO
Islam, Internet seperti blog atau facebook dan banyak lagi yang boleh
kita gunakan sebagai medium dakwah dan yang penting setiap kita
mempunyai tanggungjawab untuk berdakwah.
Wallahualam.
Warkah Nizam
http://warkahnizam.blogspot.com/2012/11/selamat-kembali-jemaah-haji.html
Jemaah Haji Berhimpun Di Arafah)
SEJUMLAH jemaah haji tiba di Jabal Rahmah dekat Mekah semalam.
Lelaki, wanita dan kanak-kanak dari 189 buah negara membanjiri kawasan itu dan mendirikan khemah pelbagai warna untuk tidur serta berdoa. Sekitar 2.5 juta jemaah berada tiba di Padang Arafah.
"Kami datang dari Mekah. Kami berjalan kaki dari Masjidilharam ke Mina dan menaiki bas ke Padang Arafah," kata seorang jemaah haji dari Mesir yang datang bersama keluarganya.
"Semakin penat kami rasa, semakin banyak ganjaran pahala yang Tuhan berikan," kata lelaki itu.
Selepas selesai solat subuh, ramai jemaah haji menuju ke sebuah bukit kecil di Padang Arafah yang dikenali sebagai Jabal Rahmah. Sebahagian jemaah berehat dan berdoa di celah batu di bukit tersebut dengan air mata mengalir di pipi mereka. Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam di kaki bukit tersebut sebelum baginda wafat.
Sementara itu, seorang lelaki menggesa jemaah haji agar tidak mendaki tangga batu yang licin untuk menuju ke puncak Jabal Rahmah.
"Nabi dan pengikutnya tidak pernah mendaki bukit ini. Tolong jangan mendakinya," kata lelaki berkenaan dengan menggunakan pembesar suara.
Sejak beberapa tahun lalu, beberapa jemaah haji pernah tergelincir dan terjatuh semasa memanjat bukit tersebut manakala sebahagian lagi meninggal dunia akibat insiden rempuhan. Sebahagian jemaah tidak menghiraukan nasihat tersebut dan cuba mendaki Jabal Rahmah tetapi tiada sebarang kejadian tidak diingini yang dilaporkan berlaku.
Beberapa jemaah haji Syria turut dilihat mengibarkan bendera para penentang Presiden Bashar Al-Assad.
Ia merupakan simbol kebangkitan rakyat negara itu yang menentang pemerintahan Bashar sejak 19 bulan lalu. Jemaah haji kemudian akan bergerak pula ke Muzdalifah yang terletak di antara Mina dan Arafah untuk melontar batu di tiga buah jamrah. - AFP
http://jalanwangtepus.blogspot.com/2012/10/jemaah-haji-berhimpun-di-arafah-subuh.html
Comments
Post a Comment