Cerpen - Senipis Kulit Bawang
Menjadi seorang yang usianya sudah senja, dalam keadaan menyedari bahawa
sebahagian dari umurnya sudah dihabiskan untuk hal-hal remeh yang bukan
menjadi agenda Tuhan mengutus dia ke dunia, barangkali rasanya amat
pedih dan perit. Saban petang dia memerhati gumpal awan berselerak di
langit, sambil menginsafi diri bahawa baki umurnya bagai tidak mampu
menampung perjalanan kembali menuju Tuhan, setelah sekian lama mencipta
jarak dengan Tuhan.
“Tuhan, hadirkan aku sebuah mimpi. tingkat iman aku ini bagaimana rupa adanya?” pinta dia dalam rintih pada suatu malam.
Setahun lalu, dia, pada waktu-waktu begini berpeleseran di lorong gelap,
mencari sesuap nafsu bagi dipuaskan. Dia melalui liku-liku yang tidak
ada noktah bagi sebuah kehidupan. Dalam lebih separuh bahagian usianya,
dia merasai bahawa hidup ini sentiasa berada di titik mula, tetap di
situ dan tiada hujungnya.
“Tuhan, iman senipis kulit bawang itu, bagaimanakah rupanya?”
berulang-ulang rintihnya pada saban malam, meratap baki umur kehidupan.
Dia mengulang-ulang surah al-Ikhlas. Tidak putus di bibir, bahkan
sentiasa terdetik di hati. Kata seorang budak kecil dengan wajah
bercahaya yang hadir dalam mimpinya sebulan lalu, surah ini sangat
berbisa.
Dia lantas berkata dengan nada rayu kepada budak kecil itu, juga dengan
rasa rendah diri yang hadir tiba-tiba, “Bisa yang bagaimana anakku?
Mahukah aku ceritakan kepadamu nikmat keseronokan di dunia sebagai ganti
untuk kamu ceritakan kepadaku, apa bisanya surah ini seperti yang kamu
maksudkan?”
Budak kecil itu menyeringai manja, limpah cahaya keluar dari celah
bibir. “Amalan para wali. Mahukah Tuan mati, lalu disembahyangi ribuan
malaikat?”
Dia kebingungan, kemudian mengerutkan dahi. Belum sempat bertanya
lanjut, budak kecil dengan wajah bercahaya itu menambah, “Mu’awiyah al
Muzani, Allah melipat bumi buat Nabi untuk hadir menyembahyangkan
jenazahnya. Begitulah Tuhan mengangkat darjat manusia. Ya, al-Ikhlas.”
Sejak daripada itu, lama sungguh dia tidak didatangi mimpi. Lama sungguh
dia merenung diri, mentafsir kunjungan budak kecil dengan wajah
bercahaya, serta surah al-Ikhlas dan Mu’awiyah.
Kata budak kecil itu sebelum dia bingkas dari tidur, “Amalkan, amalkan,”
seraya dia mendengar azan Subuh dari corong berdekatan, dan saat itu
dia menggugu keseorangan.
“Tuhan, berapakah baki umurku, buat bekalan untuk aku menjejak Mu?” Pada
malam itu, terpacul soalan kepada Tuhan daripada mulut dia.
Berulang-ulang. Jujurnya dia tidak mengharap jawapan. Dia hanya mahukan
umurnya tersisa untuk dia mencari kembali Tuhan.
Dia tiada masa yang menimbang samada ada ini suatu kebaikan atau apa.
Naluri lekas mendesak. Bibir tidak lekang dari surah al-Ikhlas, di waktu
pagi dan petang, berdiri dan berjalan, malah pada setiap gerak geri dan
kelakuan. Maknanya meniti di hati. Tuhan yang ahad, tempat memohon segala hajat.
Malam pertama Ramadhan, tahun pertama dia mengetahui bahawa syariat
berpuasa sudah lama diturunkan, dia merintih lagi. Kali ini dalam
simpuh, dia hadir dengan rintihan sungguh-sungguh, “Tuhan, empat ratus
surah al-Ikhlas sehari, di setiap langkah mengiringi, adakah memadai
untuk Engkau tunjukkan aku, iman senipis bawang itu bagaimanakah
rupanya?”
Benar, Tuhan hadirkan mimpi sebagaimana pintanya. Dia harus akui, budak
kecil dengan wajah bercahaya yang mengajarnya surah al-Ikhlas itu
sebenarnya dikirim oleh Tuhan buat menyampaikan ayat-ayat cinta yang
benar-benar berbisa.
Ziarah terakhirku buat dia di kamar sufi pada suatu hari, membuatkan aku
kian mengerti bahawa pintu kembali kepada Tuhan sentiasa terbuka untuk
dilewati. Saat itu dia tenat menunggu mati, sambil mulut dibasahi
al-Ikhlas yang entah untuk ke berapa puluh ribu kali. Dia jujur
bercerita dengan suara serak basah yang meruntun hati.
“Tuhan tidak perlukan masa yang lama untuk menjawab soalan aku, jika Dia mahu.”
Dia memejam mata, menarik nafas dalam-dalam serentak mengemam bibir dan
aku yakin, selingan nafas itu digunakan untuk hatinya berdetak-detak
dengan surah al-Ikhlas. Aku membiarkan dia menikmati ruang waktu.
Dengan sukar, dia menyambung cerita, “Tuhan hadirkan aku dengan mimpi
yang menyesakkan iman aku. Di tanah air sendiri. Aku sedang berjalan,
memerhati sekumpulan kanak-kanak serba putih yang jiwanya persih, kental
iman dan memahami sebahagian daripada surah-surah Al-Quran. Aku merasai
bahawa roh mereka subur. Kanak-kanak itu dididik dengan agama dari
kecil…”
Dia menelan liur. Halkum kelihatan ketara naik dan turun dengan
perlahan.
“Ada bunyi semacam guruh tiba-tiba datang mengejutkan semua orang. Guruh
yang panjang, tidak berhenti, tidak sekata kuatnya, berlegar di langit
dan melewa di atas kepala kami. Jet pejuang si laknat Israel menceroboh
masuk ke ruang Negara kita dan menggugurkan peluru berpandu tepat
mengenai kubah masjid. Di hadapan mata aku…”
Aku mendengar dengan teliti, memberi sepenuh perhatian akan butir percakapannya.
Dia menarik nafas lagi. “Di saat jet si laknat itu melewa di atas kepala
aku, aku mendongak dalam ketakutan dan hanya mampu menekup telinga
menahan bingit suasana. Aku lihat di tangan kanak-kanak sudah siap sedia
dengan batu dan senapang, sangat bertenaga. Helikopter terapung di
langit, lebih sepuluh ekor soldadu turun menjunam ke bumi dengan
senapang canggih tergalas di dada masing-masing.”
Aku tersentak, serentak terdetik di hati bahawa si laknat Israel mahu
membunuh kanak-kanak yang bersih jiwa kerana setiap daripada mereka
ialah bakal al-Mahdi.
“Dada aku bergetar kencang. Ini bukan lagi paparan gambar. Tentera
syaitan itu kini di depan mataku. Debu tanah naik mengapung dan
mengkaburkan pandangan. Belum sempat kaki soldadu itu mencecah bumi,
gerombolan kanak-kanak menyerbu, diiringi teriakan takbir yang
menggegarkan. Kanak-kanak itu langsung tidak gentar.”
Tangan dia terketar-ketar, mahu diangkat untuk menyeka air mata, yang
bertakung, namun hilang kudrat. Aku membiarkan dia larut dalam
perasaannya.
“Tapi aku, aku orang yang hidup lebih lama daripada mereka. Tuhan
membolak-balikkan hati aku. Aku menjadi enggan melangkah. Aku merasa
takut yang amat. Aku khuatir disana ada kematian yang akan menoktahkan
keseronokan dunia. Aku memang takut melangkah. Kaki aku tidak bergerak
walau seinci untuk menyerbu soldadu laknat itu. Hati aku keras. Hati aku
takut akan kematian. Aku takut kehilangan isi dunia di tanganku. Hati
aku langsung tidak berminat untuk syahid…”
Dia langsung bercerita dengan sayu yang benar-benar sayu, dan mengheret
aku turut sama larut dalam kesayuan itu. “Kanak-kanak itu dibedil kejam.
Tubuh mulus melambung, jatuh bergolek dan lesap terbang ke langit.
Tiap-tiap seorang, begitu yang aku lihat. Aku, aku masih di situ,
melihat dan duduk melutut tanpa ada rasa dari hati untuk melangkah
membunuh musuh dengan kudrat dewasaku. Dan seorang kanak-kanak datang
menepuk-nepuk bahu aku, mengusap kepalaku yang mula dihinggapi uban dan
tersenyum lemak di hadapan aku. Putih, sangat putih. Di wajahnya ada
cahaya. Aku tersedar daripada mimpi dan menggugu sendirian. Dia budak
kecil dengan wajah bercahaya yang muncul suatu masa dulu. Dia datang
lagi, dan membuat aku mengherdik diri akibat kelalaian masa lalu.”
Aku terasa bagai dihempap batu yang bertindih-tindih. Alangkah, Tuhan
kirimkan dia kepada aku, dengan surah al-Ikhlas yang berdetak-detak
dihatinya, mengajarkan kepada aku bahawa iman ini hanya senipis kulit
bawang. Tuhan boleh mencampak dan mencabut iman di dada manusia pada
bila-bila masa, mengangkat seseorang dari neraka ke Syurga, dan menarik
seseorang daripada syurga kepada Neraka.
http://notakaki11.blogspot.com/
Comments
Post a Comment