Kahwin di pusat pemindahan banjir

 November 12th, 2012
Parit Sulong: Sepasang pengantin dari Parit Yusof di sini semalam, terpaksa melangsungkan majlis perkahwinan di pusat pemindahan banjir kerana rumah pengantin perempuan masih dinaiki air semalam.Kenduri itu diadakan secara bergotong royong oleh mangsa banjir yang berlindung di Balai Raya Parit Yusof, selepas pasangan Rafidah Radzali, 27, selamat dinikahkan dengan pasangannya, Salehuddin Ismail, 31, di masjid kampung itu.

Rafidah yang juga Pembantu Tadbir di Kementerian Pertahanan berkata, keluarga serta penduduk kampung sepakat meminta majlis pernikahannya diteruskan walaupun awalnya dibatalkan berikutan banjir melanda.

“Masyarakat di sini menasihatkan supaya majlis ini diteruskan. Apatah lagi suami dan keluarga mentua dari Kota Tinggi, sudah bercuti dan mendapatkan pelepasan semata-mata mahu menghadiri pernikahan dan persandingan kami

“Walaupun majlis ini serba ringkas dengan jamuan diadakan di pusat pemindahan banjir, ia tetap menjadi kenangan terindah dalam hidup saya dan suami,” katanya kepada BH ketika ditemui di sini, semalam.

Rafidah seorang daripada 100 mangsa banjir membabitkan 24 keluarga sekitar Parit Yusof yang sebelum ini dipindahkan ke balai raya kampung itu sejak minggu lalu.

Reda ketentuan Ilahi
 
Bapa pengantin perempuan, Razali Mat, 58, berkata walaupun hasrat mengadakan acara perkahwinan yang meriah di rumahnya tidak kesampaian, beliau sekeluarga reda dengan ketentuan ilahi.

“Alhamdulillah, pernikahan anak saya dapat diteruskan juga. Yang penting urusan wajibnya diselesaikan. Saya berterima kasih kerana penduduk yang menjadi mangsa banjir sudi bergading bahu dan bergotong-royong menyiapkan juadah termasuk ayam masak kicap, kari terung dan rojak untuk dinikmati bersama,” katanya.

Sementara itu, di Teluk Intan, kakitangan TV3, Norhafizan Khalil dan pasangannya, Azlan Shah Mohamed terpaksa meranduk air pada hari perkahwinan mereka.

Mereka yang masing-masing berusia 26 tahun terpaksa meredah air untuk bermalam di rumah ibu bapa Norhafizan di Batu 7 Changkat Jong, dekat sini, yang masih dilanda banjir selepas selesai majlis kenduri mereka.

Norhafizan yang bertugas sebagai Penolong Penerbit di Primeworks Studios berkata, banjir menyebabkan majlis kenduri itu yang sepatutnya diadakan di rumah ibu bapanya dipindahkan ke rumah neneknya, Bariah Baharom, 70, di Kampung Batu 7½ Changkat Jong.

“Bagi saya, detik perkahwinan ini peristiwa yang sukar dilupakan sepanjang hayat,” katanya.

 http://www.kl-today.com

Comments

Popular posts from this blog