Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang rancak dibina



LAPAN pakej projek pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang yang kini sedang dalam pembinaan.


KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembinaan landasan dan stesen untuk projek My Rapid Transit (MRT) melibatkan laluan dari Taman Mesra hingga Stesen Kajang sepanjang 9.4 kilometer (km) bernilai RM951 juta telah mula dilaksanakan sejak awal bulan ini.

Pembinaan untuk Pakej Jejambat V8 merupakan bahagian yang terakhir daripada lapan pakej bagi keseluruhan projek MRT bagi laluan Sungai Buloh ke Kajang yang melibatkan laluan sejauh 41.5km dan 24 buah stesen.

Pengarah Urusan UEM Builders Berhad, Mohd. Razin (gambar) Ghazali berkata, dengan bermulanya pembinaan untuk pakej yang terakhir itu bermakna, pembinaan untuk semua pakej bagi projek tersebut kini sedang rancak dijalankan dengan pembinaan untuk pakej yang pertama bermula pada Mac 2012.

“Kita yakin projek ini mampu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada Disember 2016,” katanya pada majlis penerangan kepada media mengenai kemajuan projek tersebut di sini semalam.

Jelas beliau, pihaknya akan mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengurangkan gangguan kepada orang ramai ketika projek itu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Pengarah Perhubungan Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp., Amir Mahmood Razak memberitahu, pihaknya sudah bertemu dengan penduduk yang tinggal di sepanjang laluan tersebut untuk menyelesaikan beberapa isu penting seperti keadaan trafik dan saliran air.

“Kami sudah bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Perbandaran Kajang untuk perancangan mengelak berlakunya banjir serta masalah-masalah lain,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhadapan dengan sebarang masalah boleh menghubungi talian 24 jam MRT Hotline di 1-800-82-6868.http://www.mymrt.com.my/upload/releases/V8%20BM.pdf

Comments

Popular posts from this blog