Hargai kehidupan, perasaan warga tua
JIKA dipanjangkan umur, kita semua akan menempuh usia tua. Ketika itu kita akan mengalami seperti mana apa yang dialami oleh golongan tua yang kita lihat sekarang.
Golongan tua mengalami banyak perubahan berbanding usia muda. Perubahan itu meliputi berkaitan fizikal dan minda berubah seperti penglihatan mula kabur, pendengaran semakin hilang, kulit berkedut, tenaga tidak lagi gagah dan paling ketara ada yang nyanyuk.
Sebenarnya tidak ada umur khusus meletakkan seseorang memasuki usia tua. Bagaimanapun, dalam masyarakat kita biasanya usia tua merujuk kepada individu yang mencapai usia 50 tahun dan ke atas.
Yang pasti ialah golongan tua banyak berjasa kepada golongan muda. Jika tiada golongan tua, sudah pasti tidak mungkin ada golongan muda manakala apa yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil usaha pengorbanan yang dilakukan golongan tua.
Islam mahu golongan tua dihormati. Suruhan menghormati orang tua bukan sekadar kepada ibu bapa kita saja. Semua orang tua perlu dihormati seperti mana kita menghormati ibu bapa.
Lebih-lebih lagi jika orang tua itu adalah rakan kepada ibu bapa kita. Rasulullah menyuruh agar kita meneruskan silatulrahim dengan rakan ibu bapa kita biarpun ibu atau bapa kita meninggal dunia.
Maksud menghormati dan menghargai golongan tua ialah mereka diutamakan, dikasihi dan diberi kemudahan untuk menikmati kehidupan usia tua dengan selesa, terjamin, selamat dan menggembirakan.
Dalam masyarakat kita sememangnya sentiasa memberi layanan baik kepada golongan tua. Sebagai satu gambaran penghormatan yang perlu diberikan kepada golongan tua ialah golongan tersebut digelar sebagai warga emas. Semua orang ingin dan sayang kepada emas, begitulah yang sepatutnya penghormatan yang diberikan kepada warga emas.
Memandangkan golongan tua berada dalam serba kekurangan dari segi kekuatan fizikal dan kebanyakannya mungkin juga mental, mereka memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan hidup alam tua dengan seadanya. Sesungguhnya, dalam hal ini perhatian dan sokongan daripada anak dan ahli keluarga amat diperlukan.
Keadaan ketika usia lanjut dinyatakan dalam surah al-Hajj, ayat 5 bermaksud: “Dan (dalam pada) itu ada di antara kamu yang dimatikan (ketika kecil atau dewasa) dan ada pula dilanjutkan umur ke peringkat tua serta nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi mengenai sesuatu yang sudah diketahui dulu.”
Sebenarnya menghormati golongan tua bukan suatu amalan yang asing bagi kita. Sebahagian daripada ahli keluarga kita adalah termasuk golongan tua. Dalam setiap keluarga tentu ada golongan tua seperti bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara.
Dengan kata lain, menghormati golongan tua, tidak kira apa hubungan persaudaraan mereka dengan kita adalah sebahagian tanggungjawab menghormati bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara sendiri.
Jika difikirkan, menghormati golongan tua bukan satu bebanan yang berat untuk ditunaikan. Mereka bukannya meminta dilebihkan dalam layanan dan penghormatan. Golongan tua sememangnya menyedari bahawa zaman mereka sudah berlalu. Tidak ada apa lagi yang hendak direbut melainkan menghabiskan sisa-sisa hidup dengan selesa.
Ramai yang rungsing apabila memikirkan keadaan hidup menghadapi usia tua. disebabkan wujud fenomena banyak golongan tua mengalami kehidupan usia tua dengan keadaan suram.
Kerungsingan ini berasas memandangkan kes anak melayan ibu seperti orang gaji semakin meningkat. Banyak ibu bapa dihantar oleh anak mereka ke rumah kebajikan, dan banyak juga orang tuan yang hidup merepat di jalanan.
Sebenarnya menghormati golongan tua bukan sekadar terhadap ibu bapa dan orang yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan kita. Sebaliknya, wajib bagi setiap orang muda menghormati orang tua, tanpa mengira pertalian persaudaraan, kedudukan dan kekayaan.
Sesungguhnya, Rasulullah menjelaskan sesiapa yang tidak menghormati golongan tua sebagai bukan orang beriman. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
Sikap golongan muda yang menganggap golongan tua membebankan, menyampah, dan mengganggu adalah amat biadab. Mereka lupa suatu hari nanti mereka juga akan menempuh alam tua. Sudah tentu mereka tidak mahu nasib yang dialami golongan tua sekarang akan menimpa pula ke atas diri mereka.
Sesiapa yang tidak menghargai golongan tua, bakal menerima kifarah pada usia tua nanti. Biasanya golongan tua sekarang yang diabaikan adalah terdiri daripada mereka yang ketika usia mudanya selalu mengabai golongan tua.
Sikap golongan muda yang tidak menghormati golongan tua berlaku di dalam masyarakat yang mengamalkan cara hidup bersandarkan kepada kebebasan bersuara, hak individu, sama rata dan tidak mengutamakan syariat agama.
Cara hidup sebegini begitu meluas di negara Barat yang menjadi punca kejatuhan moral golongan muda di sana. Sebenarnya masyarakat di Barat semakin menuju kehancuran disebabkan masalah keruntuhan moral rakyatnya. Kemajuan sains dan teknologi tidak mampu bertahan jika moral rakyat musnah.
Malah, masyarakat yang moralnya musnah akan menggunakan kemajuan sains dan teknologi untuk menghancurkan sesama manusia. Akhirnya, manusia akan musnah akibat menggunakan hasil ciptaan manusia sendiri.
Cara hidup demikian tidak ubah seperti hidup di alam haiwan. Haiwan tidak membezakan antara tua dan muda. Siapa lebih kuat dialah yang akan berjaya mendapat apa diingini. Tidak ada status dalam masyarakat haiwan untuk dihormati dan diutamakan.
Itu sudah tabii kejadian haiwan yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Sesungguhnya sesiapa yang mengikut tabie haiwan, dia adalah lebih hina daripada haiwan.
Sekarang ini didapati amalan yang diamalkan di alam haiwan ini semakin menular di dalam masyarakat. Golongan muda tidak mempedulikan kehadiran golongan tua di sisi mereka. Jika membabitkan perebutan atau mendapat yang lebih baik, golongan muda sanggup bertanding dengan golongan tua.
Sebenarnya boleh dikatakan bahawa perbuatan memaki golongan tua samalah dengan memaki dan mengutuk ibu bapa sendiri. Sesungguhnya dosa memaki ibu bapa adalah amat besar. Begitulah juga dosa memaki golongan tua.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seseorang lelaki mengutuk ibu bapanya. Ramai orang merasa takjub bagaimana orang yang cukup akalnya, beriman kepada Allah boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan kehidupan anak.”
Lantas baginda ditanya: “Bagaimana seseorang itu mengutuk ibu bapanya?”. Rasulullah menjawab dalam sabdanya bermaksud: “Bila orang itu memaki ayah orang lain, lalu orang lain membalas maki ayahnya. Kemudian dia memaki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Amalan menghormati golongan tua bukan saja perintah agama, tetapi budaya yang diamalkan dalam masyarakat bertamadun. Masyarakat yang menghormati golongan tua mencapai tahap hidup lebih selesa, selamat dan berjaya.
Begitu besar sekali kedudukan golongan tua yang dianggap sebagai punca kesejahteraan, keuntungan dan kejayaan hidup.
Dalam Islam, perbuatan tidak menghormati golongan tua bukan sekadar melanggar pantang larang, tetapi melanggar perintah Allah. Amat berat balasan melanggar perintah Allah. Pantang larang sekadar adat, tetapi perintah Allah membabitkan keimanan dan ketakwaan. Hargai orang tua sebelum terlambat!
Oleh Lokman Ismail (BH)
http://www.ppdjasin.edu.my
Comments
Post a Comment