Tuduhan Zina & Liwat : Boleh Percaya Atau Tidak?
Akhir-akhir
ini di sana sini membicarakan persoalan liwat dan politik. Namun di
tengah-tengah tuduhan oleh pihak terbabit, ingin saya mengingatkan semua
pembaca dan mereka yang mengikuti isu terbaru politik Malaysia ini agar
BERAWAS-AWAS. Ia tidak seperti mempercayai tuduhan-tuduhan lain seperti
dia agen Yahudi, mereka makan rasuah, amalkan kronisme, pasukan
Sepanyol akan menang final Euro dan lain-lain.
Menurut
hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau
menyebarkan apa jua berita berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat.
Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut
dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf.
( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina',
6/433)
Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie berkata :
ولا يقبل في اللواط إلا أربعة لانه كالزنا في الحد في الشهادة
Ertinya
: Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia
adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan
hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)
Tanpa
berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh
dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.
Kesalahan ini dicatat oleh Allah swt :-
وَالَّذِينَ
يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء
فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً
أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Ertinya
: Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat
zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebat
(deralah) mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan
janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka
itulah orang-orang yang fasik ( An-Nur : 4)
Imam
Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah
terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh
istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan
terus.
Walaupun
ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada sang
wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara
sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi).
RINGKASAN SYARAT-SYARAT
Qazf mempunyai beberapa syarat :-
1) Syarat kepada penuduh :
- Beraqal
- Sudah baligh
2) Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf
- Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum, iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri ( ertinya menuduh isteri berzina). ( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)
3) Syarat orang yang dituduh
- Beraqal
- Baligh
- Islam
- Merdeka diri
- BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Justeru, saya nasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah swt :-
ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء
Ertinya : dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi,
Para
ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya penuduh membawakan
saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini
terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau
belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat
atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)
Imam Malik berkata :
قول مالك، وإن اضطرب واحد منهم جلد الثلاثة، كما فعل عمر في أمر المغيرة بن شعبة،
Ertinya
: Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh
penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali
kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes
Al-Mughirah Bin Syu'bah, (iaitu
apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi maka semua tiga orang
saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) ( Al-Jami' Li
Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)
Selain
dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menuduh zina dan
liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan
tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majoriti ulama
berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.
Namun
Al-Qadhi Suraih, Ibrahim An-Nakh'ie, Hasan Al-Basri, Sufyan At-Thawry
dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat apabila mereka berkata penolakan
hak boleh beri saksi kekal walalupun taubat, hanya gelaran fasiq sahaja
yang dihapuskan di sisi Allah.
Sekadar
itu sahaja bagi memperingatkan umat Islam di Malaysia agar jangan
tersilap langkah dalam menerima berita-berita hal zina dan liwat ini.
Mungkin
si pendakwa dan mereka yang menyebarkannya TIDAK AKAN dihukum qazaf di
dunia, namun Allah maha mengathui siapa yang benar dan salah, hukuman
pasti menunggu di AKHIRAT, bermula dari alam barzakh, sama ada pendakwa
atau tertuduh. Kecualilah jika individu tersebut bukanlah seorang
manusia yang akan menemui kematian, namun semua akan menemui kematian.
Namun
ingat, bukan tugas kita untuk mempercayai selagi syarat-syarat yang
disebut di atas tidak dipenuhi. Apa jua keputusan mahkamah, itu
keputusan mahkamah dan selaku orang yang tidak terlibat, kita tidak
dipaksa atau terpaksa untuk mempercayai atau menolak.
TAMBAHAN
Isu-isu
semasa di Malaysia masih lagi sempat diikuti, terasa juga ingin menulis
panjang beberapa isu seperti tidak setujunya saya dengan pandangan
bekas Mufti Perlis dalam isu liwat dan saksi, namun beberapa perkara
yang masih serabut di sini menghalang saya dari meluangkan waktu untuk
mengulas isu ini dengan panjang lebar buat masa ini.
S.S Dr Mufti Perlis ( sekarang bekas) dinyatakan berkata :-
"Mereka
ini keliru antara seseorang yang mendakwa orang lain melakukan zina
dengan orang yang mendakwa dirinya dirogol dan diliwat," kata Dr Asri.
"Jika
disamakan kaedah ini bererti mangsa-mangsa rogol dan liwat kena
datangkan empat orang saksi dan kalau gagal berbuat demikian, mereka
akan disebat 80 kali. Inikah Islam yang mereka faham?
"Kesalahan
memahami hukum beginilah yang akan mengelirukan umat Islam? Jika ini
yang ditonjolkan pada masyarakat, maka orang akan anggap Islam itu
zalim," katanya lagi." ( Sumber )
Tidak
mengulas panjang isu ini, saya hanya ingin memberikan ringkasan
pendapat saya dalam isu ini. Bagi mereka yang rajin membaca terperinci, bolehlah merujuk tulisan saya yang lalu di link berikut
Sesiapa
sahaja yang menuduh dirogol atau diliwat oleh orang tertentu, ia wajib
membawakan empat saksi. Ramai menyoal, dimanakah rasionalnya seseorang
dirogol atau diliwat kemudiannya dituntut membawa empat saksi lelaki
adil jika ingin mendakwa si penjenayah?. Jika tiada saksi apakah adil
untuk di hukum sebatan si pendakwa kerana qazaf?.
Akibatnya,
ramai tersilap faham lalu terbayang ‘zalim'nya hukum Islam. Padahal ia
tidak sedemikian. Hakikatnya, sistem Islam menjaga kedua-dua belah
pihak, penuduh dan yang dituduh.
Padahal
isunya adalah sistem kita yang lemah dalam menjaga perkara yang perlu
dirahsiakan. Hasil perbincangan saya dengan Mufti Besar Mesir (Sheikh
Prof. Dr Ali Al-Jumaah) pada tahun 2004 dalam hal ini amat jelas. Malah
saya turut membincangkan hal yang sama dengan professor-professor
Shariah di Jordan seperti Prof. Dr Sheikh Mohammad ‘Uqlah El-Ibrahim dan
lain-lain. Ia juga pernah diulas sebahagiannya oleh Sheikh Prof. Dr
Ramadhan Al-Buti.
Kesimpulannya, begini :-
1- Seseorang
yang mendakwa diri diliwat dan dirogol tetap diTUNTUT membawakan empat
saksi lelaki adil yang melihat dengan jelas akan apa yang didakwa. Ia
hukum asal. Tuduhan dari pihak ketiga atau pihak yang mendakwa menjadi
mangsa adalah sama sahaja. Sebagaimana ulama bersepakat, seorang bapa
menafikan nasab keturunan anak yang dilahirkan oleh isterinya sebagai
menuduh isterinya berzina. Cara penyelesaian khusus diberikan oleh Islam
dalam hal ini adalah Li'an. Inilah cara yang dipersetujui oleh Mufti
Perlis mungkin berdasarkan kaedah qiyas.
2-
Jika tidak mempunyai saksi lelaki yang cukup, terdapat ulama yang
membenarkan saksi wanita yang adil untuk diterima iaitu jika kejadian
berlaku di tempat yang tidak memungkinkan ada lelaki. Tatkala itu saksi
wanita diterima dengan kiraan 2 wanita menyamai 1 lelaki. (rujuk link
artikel di atas untuk membaca lanjut)
3- Jika
masih tiada saksi maka si ‘mangsa' BOLEH membawakan dakwaan kepada
pihak berkuasa dan WAJIB dibuat secara TERTUTUP DAN RAHSIA. Kerajaan
WAJIB menjaga aduan ini agar tidak tersebar sama sekali. Jika tersebar,
kesalahan terletak di atas bahu kerajaan. Inilah yang dikatakan sistem
yang lemah. Setiap isu yang diadu kerap tersebar ke media terutamanya
apabila membabitkan selebriti dan orang politik.
4- Prof Dr Ali Jumaah selaku Mufti Mesir juga bersetuju bahawa jika aduan tertutup dibuat, dan disertakan ‘qarain'
atau bukti-bukti selain saksi seperti air mani, bulu dan lain-lain yang
boleh membantu dakwaan. Ia akan dibicarakan di mahkamah dan hukuman
qazaf TIDAK DIKENAKAN kerana Maqasid
dari hukuman Qazf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh
dari tercemar di mata awam. Namun apabila ia dibuat secara tertutup,
TIADA KEMUSNAHAN MARUAH tertuduh berlaku lalu inilah yang ingin
dielakkan oleh Islam, iaitu kemusanahan maruah tanpa saksi yang cukup.
Dalam keadaan ini, kerosakan maruah mereka yang didakwa ‘merogol atau
meliwat‘ akan terkawal dan proses perbicaraan akan menentukan tindakan
selanjutnya.
5-
Bukti diberikan dianalisa, kemudian jika terbukti benar dakwaannya,
perogol dan peliwat akan dihukum ta'zir dan bukan hudud kerana
terdapatnya unsur syubhat dalam cara pensabitannya. Justeru, perogol dan
peliwat akan dihukum sewajarnya smenurut hemat dan kebijaksanaan hakim
Syarie. Jika pengadu tewas di mahkamah, hukuman qazaf juga tidak
dilaksanakan kerana dakwaan tertutup dan syubhah dalam pensabitan
hukuman qazaf. Justeru, tiada siapa yang terzalim dalam hal ini.
6- Perlu
difahami hujjah mereka yang mengatakan zalim hukum jika dihukum qazaf
mesti ditimbang sewajarnya antara hak individu yang dituduh dan menuduh.
Ada pihak seolah membelakangkan hak mereka yang DITUDUH lalu
terlalu melebihkan hak yang menjadi ‘mangsa', kononnya perlu
dikasihani. Bagaimana jika tuduhan itu palsu, bukankah yang DITUDUH juga
perlu pembelaan Islam. Perlu diingat, dengan mudah seorang wanita
tiba-tiba mengaku dirogol oleh seorang Mufti atau Imam Besar tanpa
sebarang saksi. Kemudian, dengan mudah boleh diselesaikan hanya dengan
bersumpah dan bermubahalah semata-mata?. Mungkin ia belum tentu sesuai
pada masanya.
7- Justeru,
Islam menjaga kedua-dua belah pihak yang menuduh dan tertuduh, kerana
itu sesiapa yang ingin mendakwa dirogol atau diliwat mesti empat saksi
atau jika tidak, WAJIB membuat laporan secara tertutup dan kerajaan
WAJIB pula menjaga dakwaan dari tersebar.
Itulah
ulasan ringkas saya buat masa ini. Saya juga tidak sempat membawakan
rujukan kitab dan lain-lain hujjah. Mengulas isu ini perlu lebih
bertenang dan perbincangan dengan para ilmuan lain agar tidak tersilap
mengulas, terutamanya dari seisapa sahaja yang berlatarbelakangkan
agama.
http://www.suarapakatandaily.com
Comments
Post a Comment