Tidak ada Muslim yang menolak hukum hudud
Saya percaya tidak ada pemimpin dan umat Islam
seluruh dunia yang faham, menolak Hukum Hudud kerana semua maklum ianya
adalah perintah dan hukum Allah yang termaktub dalam al Quran.
Prof Madya Dr Asri berkata : Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan penafsiran hukum berkenaan oleh manusia.Ini
seperti kita tidak boleh mempertikaikan syariat haji, tetapi kita boleh
mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia tidak bertepatan.
Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat al-Quran dan Sunnah,
tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai, syarikat, koperasi
dll yang menggunakan nama Islam dalam operasi mereka jika kita dapati ia
tidak menepati semangat Islam yang sebenar. Demikian kita tidak boleh
mempertikaikan syariat hudud, tetapi kita boleh mempertikaikan
perlaksanaan oleh pihak tertentu apabila kita dapati ia tidak memenuhi
semangat keadilan yang dikehendak oleh Allah dan rasulNYA. Namun,
tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak
disalahgunakan atau disalahfahami.
Sesuatu yang wajar diakui bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan
hudud di zaman kini, terutama di negara kita yang mempunyai persekitaran
yang sangat berbeza dibanding hari-hari awal hudud dilaksanakan. Dalam
masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud tanpa penelitian bagaikan
memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan menambahkan
kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan
merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.
Tokoh ilmuwan muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic Law menyatakan
bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun selepas
kewafatan Nabi s.a.w hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia muslim.
Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini
disebabkan kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada
awal sudah tiada lagi.
Dalam The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World,
John L. Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang
di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan
Pakistan. Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan
beberapa tahun selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman
kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud.
Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang
melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan
hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya ‘An International Call for Moratorium on Corporal Punishment’ pula menyeru kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah. Demikian juga tokoh fekah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarqmeminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Tiga Golongan
Maka, mereka yang enggan menerima perlaksanaan hudud itu ada tiga
golongan; pertama, mereka yang membenci hudud itu sendiri dan
menganggapnya zalim dan buruk. Maka golongan ini rosak akidahnya. Kedua,
mereka yang tidak menolak hudud tetapi menolak tafsiran perincian hudud
yang dibuat oleh pihak tertentu. Ini kerana nas-nas hudud dalam
al-Quran dan hadis umum, perinciannya adalah ijtihad ataupun tafsiran
para pengkaji.
Sebagai contoh, Prof Dr Hashim Kamali seorang sarjana muslim
yang terkenal telah menulis mengkritik enakmen hudud Kelantan dan
Terengganu. Sesiapa yang berminat boleh membaca tulisan beliau ‘Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu”. Golongan ini tidak boleh dianggap mengkritik Islam sebaliknya mengkritik tafsiran pihak tertentu tentang hudud.
Golongan ketiga, mereka tidak menolak hudud tetapi menyatakan keadaan
hari ini ataupun masyarakat yang sedang ada tidak kondusif untuk
dilaksanakan hudud. Dalam ertikata lain, persekitaran yang memboleh
hudud itu berfungsi dengan adil tidak wujud. Maka hudud mestilah
ditangguhkan sehingga suasana yang sesuai itu muncul. Ini seperti kita
menyatakan haji itu wajib tetapi oleh kerana kewangan tidak cukup,
ataupun perjalanan tidak aman, maka hendaklah ditangguhkan. Jika hudud
dilaksanakan juga ia tidak akan mencapai tujuan yang Allah kehendaki.
Golongan ketiga tidak menolak hudud tetapi menyatakan bahawa dari segi
maqasidnya ia tidak wajar dilaksanakan pada waktu ini sebelum suasana
yang kondusif muncul.
Tujuan Kenegaraan
Hakikatnya tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud. Tujuan kenegaraan lebih luas dari itu. Pemerintah menegak social justice ataupun keadilan masyarakat dalam segala aspek. Hudud hanyalahmechanism dalam mengatasi jenayah tertentu. Bahkan perkataan ‘hudud Allah’
dalam al-Quran tidaklah merujuk kepada undang-undang jenayah sebaliknya
dalam Surah al-Baqarah ayat 187 merujuk kepada hukum-hakam puasa, Surah
al-Baqarah ayat 229-230 merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah an-Nisa
ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 tentang hukum
zihar, Surah at-Talaq ayat 1 tentang edah talak. Ertinya perkataan hudud
dalam al-Quran secara peraturan Allah bukan hanya tertumpu kepada hukum
jenayah sahaja.
Menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksaan.
Tidak dari segi maqasid agama, tidak juga dari segi kepentingan politik.
Tujuan politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong
tangan pencuri. Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatut
membincang bagaimana memasti tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri
disebabkan keadilan dan kebajikan negara. Hendak dipastikan semua warga
sama di hadapan undang-undang. Tidak boleh ada pihak yang boleh
bermaharajalela yang jika mereka didakwa, yang membawa kes pula akan
dikenakan di bawah akta hasutan. Jangan sampai rakyat yang mencuri di
pasaraya dipotong tangan, tapi pembesar yang mencuri hutan balak negara
dibiarkan.
Akhirnya, saya ingin memetik apa yang al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:
“Berkata al-Shafi’i: “Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak”. Kata Ibn ‘Aqil: “Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.. apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agamaNYA.
Allah S.W.T lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu kemudian menafikan apa yang lebih jelas daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih nyata tandanya, lalu dia tidak menerima dan menilai kewujudannya dan menegakkan tuntutannya. Bahkan Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNYA dan membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa siyasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak, sebaliknya ia menepatinya. Bahkan siyasah yang adil itu satu juzuk dari syarak. Kita menamakannya siyasah mengikut istilah mereka padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasulNYA yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti tersebut”
http://fitrahislami.wordpress.com
Comments
Post a Comment