Fadhilat Hauqalah "La Hawla Wala Quwwata Illa Billah"
Rasulullah SAW bersabda :
“Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan
menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis
Riwayat Tabrani)
Hadis ini adalah riwayat
at-Tabarani dalam al-Awsath dan al-Hakim yang berbunyi: “Man Qala La Haula wala
Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha
al-Hammu” dan maksudnya adalah seperti di atas.
Intipati hadis tersebut adalah
umat Islam digalakkan untuk tabah dan berusaha merawat penyakit asalkan
mengikut peraturan agama. Penyakit yang dimaksudkan itu ada terkandung dalam
beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Daripada Anas, bahawa
Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma innii ‘auuzhu bika minal barashi
wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il asqaam (yang bermaksud: “Ya Allah,
sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta
dan penyakit-penyakit yang berat).” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Begitu juga hadis riwayat
Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Allahuamma Inni a’uuzu bika
minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika
minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal (yang
bermaksud: “Ya Allah, saya berlindung kepada-Mu daripada penyakit gelisah dan
dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit lemah dan malas, aku
berlindung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu
daripada timbunan hutang dan penindasan orang.”
Apa yang penting pada hadis
berkenaan ialah untuk menyatakan kelebihan dan manfaat besar kepada orang yang
banyak menyebut ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Maksudnya tiada daya dan
kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang
manfaat) selain Allah SWT.
Ucapan itu dinamakan
Hauqalah. Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita tidak sukai, banyakkan
menyebut hauqalah. Imam a-Nawawi
berkata: “La haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan
untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk
memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba
tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan (kemudaratan) dan
tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya
melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga.
Dalam sebuah hadis menyebut
daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW,
lalu Baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada
kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata:
Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”
Begitu juga hadis daripada
Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Mahukah aku
tunjukkan salah satu perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Saya menjawab:
“Mahu ya Rasulullah. Kemudian Baginda bersabda: La haula wala quwwata illa
billah.”
Daripada Ibnu Mas’ud beliau
berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Wahai Muaz, adakah kamu tahu tafsir (maksud)
La haula wala quwwata illa billah? Muaz menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih
mengetahui. Rasulullah SAW bersabda: La haula (tiada daya) dari menghindari
maksiat kepada Allah melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada
kekuatan) atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Kemudian
Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan Baginda bersabda: “Demikianlah yang
diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.”
Sebenarnya apabila kita
banyak menyebut Allah SWT atau berzikir mengingati-Nya sebanyak-banyaknya, ia
mampu menjadi penyembuh, tetapi sekiranya kita banyak ingat kepada manusia ia
boleh menjadi penyakit.
http://www.ahmad-sanusi-husain.com/2011/06/fadhilat-hauqalah-la-hawla-wala-quwwata.html#ixzz2CULlU9w9
Comments
Post a Comment