Hijrah Pedoman Kepada Organisasi

1
2

Penghijrahan Rasulullah SAW yang berlaku 1,434 tahun yang lalu menyaksikan kesan yang besar terhadap tahap ketamadunan umat Islam dan pasang-surut perjuangan mereka.

Peristiwa Hijrah itu mencatatkan permulaan kepada kegemilangan umat Islam dalam pembinaan negara Islam yang disegani dan dihormati kawan dan lawan sehingga mencipta detik bersejarah dalam lipatan sejarah.

Melihat kepada kepentingan hijrah, maka Saidina Umar r.a sewaktu menjadi khalifah telah memilih tahun tersebut sebagai permulaan kalendar umat Islam sebagai memperingati dan mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dan implikasi penting daripada peristiwa tersebut.

Penghijrahan tersebut telah melonjakkan umat Islam kepada satu tahap yang benar-benar membuka mata masyarakat dunia termasuk dua kuasa besar ketika itu iaitu Parsi dan Rom terhadap keupayaan generasi yang dibina oleh Rasulullah SAW.

Terlalu banyak episod kejayaan yang telah dicapai bermula dengan detik penghijrahan tersebut. Namun, perlu difahami bahawa kejayaan hijrah bukanlah diraih secara percuma.

Akan tetapi ia menuntut kepada 'harga' yang sangat besar iaitu pengorbanan harta benda, tenaga, masa hatta nyawa.

Sehingga setiap daripada kita akan terfikir apakah kita dapat melakukan pengorbanan yang sama sekiranya berada di tempat mereka.

Justeru, umat Islam perlu menghayati peri pentingnya penghijrahan Rasulullah SAW dan bagaimana baginda SAW membina masyarakat bertamadun daripada segi pemikiran, akhlak dan material.

Akhirnya kefahaman daripada penghayatan ini dapat diaplikasikan dalam membina organisasi masing-masing.

Muhammad Said Ramadhan al-Buti menjelaskan terdapat tiga asas utama yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam membina kerajaan Islam Madinah (Fiqh Sirah, Muhammad Said Ramadhan al-Buti).

Pertama, membina masjid sebagai pusat pemerintahan kerajaan.

Muhammad Munir al-Ghatban menjelaskan, "Masjid Nabawi bukan sahaja menjadi tempat menunaikan ibadat solat, bahkan ia menjadi institusi penting bagi umat Islam ketika itu untuk menerima ajaran Islam daripada Rasulullah SAW.

"Masjid itu juga merupakan pusat perbendaharaan ilmu pengetahuan yang terkumpul hasil daripada sumbangan pelbagai puak yang masing-masing membawa kesenian, kepandaian dan


kemahiran dalam pelbagai bidang". (rujuk Al-Manhaj Al-Haraki Lil Al-Sirah Al-Nabawiah, Muhammad Munir Al-Ghatban).

Ketika inilah kita perlu fahami bahawa paksi utama pembinaan sesebuah organisasi adalah ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan ini pula mestilah dipandu dengan wahyu ilahi iaitu al-Quran dan sunah.

Syariat Allah

Organisasi yang tidak terbimbing dengan syariat Allah SWT tentunya akan melaksanakan strateginya tanpa sempadan dan batasan. Maka berlakulah pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan salah laku yang lain.

Asas kedua dalam pembinaan kerajaan pasca Hijrah adalah mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansar.

Langkah ini dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk menyatukan hati-hati umat Islam di atas dasar akidah dan keimanan yang jitu sehingga persaudaraan ini lebih utuh melebihi hubungan kerabat dan keturunan.

Maka, kita dapat fahami bahawa adalah mustahil sesebuah organisasi dapat dibina tanpa persefahaman dan perpaduan.

Perpaduan sangat penting untuk mewujudkan wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) dan wehdatul amal (kesatuan pelaksanaan).

Organisasi yang tidak mempunyai kesatuan dan persaudaraan bakal menemui kegagalan kerana tandus dengan kasih-sayang, cinta dan kesetiaan.

Ia umpama sebuah bahtera yang mempunyai penumpang yang bermusuh di antara satu sama lain. Ia pasti tidak akan sampai ke destinasi bukan disebabkan gelora badai yang menggunung, sebaliknya hancur dimamah kebencian dan permusuhan.

Organisasi yang bermasalah sebenarnya bukan disebabkan persaingan daripada luaran, tetapi biasanya disebabkan persaingan yang berlaku di peringkat dalaman secara tidak sihat.

Rasulullah SAW telah mendidik para sahabat r.a dengan supaya mempertahankan persaudaraan yang dibina melalui tiga langkah.

Langkah pertama ialah melalui sikap bersangka baik (husnu zhan) di antara para sahabat r.a.

Kedua, melalui sikap keterbukaan dan berlapang dada dalam menerima pandangan dan teguran secara positif.

Ketiga, dengan memberikan keutamaan kepada orang lain berbanding diri-sendiri (ithar).



Asas ketiga yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW adalah gagasan piagam yang dikenali sebagai Sahifah Madinah.

Piagam ini digubal untuk memberi panduan, kawalan dan tindakan bagi mengatur hubungan yang sejahtera di antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Justeru, sebarang pelanggaran ke atas perlembagaan ini akan dikenakan tindakan tegas.

Asas ketiga ini juga penting dalam pembinaan organisasi. Polisi dan garis panduan yang tersusun akan membantu kepimpinan dalam mengawal disiplin anggota organisasi dengan lebih teratur.

Apa yang dapat kita fahami daripada ketiga-tiga dasar pentadbiran Rasulullah SAW ini adalah semuanya perlu didasari dengan syariah.

Sebarang tindakan dan pelaksanaan akan menemui kegagalan sekiranya tidak dipandu oleh dua sumber utama iaitu al-Quran dan sunah.

Ia juga perlu disusuli dengan strategi berkesan dan tersusun sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT mencintai hambanya yang berjuang pada jalan Allah secara tersusun seumpama mereka itu bangunan yang kukuh.
(As-Saff: 4)


SYARAH  USTAZ KAZIM

 www.takaful-ikhlas.com.my

Comments

Popular posts from this blog