Pemuda : Hero-hero Ummat, Ayah Adalah Pencetusnya

Dari seorang ayah, lahir seorang hero ummah !
~ Picture by http://tazzer27.deviantart.com/

Seorang anak tidak mungkin lahir ke dunia tanpa seorang ayah. Kalau hanya ada ibu sahaja, tidak mungkin akan terlahirnya seorang anak. Kisah Nabi Isa a.s. yang lahir tanpa ayah tidak mungkin akan berulang lagi.

Setiap anak yang lahir pastilah terhasil melalui proses perhubungan yang berlaku antara ayah dan ibu. Lazimnya, kita mungkin selalu membicarakan tentang jasa dan pengorbanan ibu dalam kehidupan.

Ya. Memang benar ibulah yang bersusah-payah mengandungkan kita dan bertarung nyawa untuk melahirkan kita. Itu memang tidak kita nafikan. Tetapi, pengorbanan dan peranan seorang ayah dalam kehidupan seorang insan tidak harus juga kita lupakan.

Saya sendiri memiliki seorang ayah yang saya cukup banggakan dalam kehidupan saya sendiri.

AYAH ADALAH PILAR PENTING DALAM PEMBANGUNAN UMMAT

Biasanya, peranan ayah hanya dilihat pada memberi nafkah berupa sara hidup, makan minum, tempat tinggal untuk keluarga. Selain itu, ayah juga dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab membiayai pendidikan dan pelajaran anak-anaknya.

Tetapi hanya sekadar itu sahajakah?

Kalau hanya sekadar itu, kita telah memperkecilkan peranan seorang ayah. Bagi saya, seorang ayah adalah rahsia penting dalam pembangunan hero-hero ummat di dalam keluarganya. Melihat peranan ayah saya sendiri sebagai seorang ketua keluarga dalam keluarga kami, saya mendapati tugas seorang ayah sangatlah besar dan penting dalam membentuk hero ummat.

Membentuk hero untuk ummat, yang memiliki kefahaman Islam yang benar serta bergerak membumikannya di dalam kehidupan di tengah masyarakat, bukanlah suatu yang mudah.

Itu bukanlah suatu yang mudah. Kalau hendak ajar anak jadi hero seperti power rangers, superman dan ultraman, bukanlah suatu yang payah sangat dibandingkan mengajar dan mendidik mereka menjadi hero ummat yang memiliki kefahaman yang benar terhadap tujuan kehidupannya di dunia dan sedar akan kampung akhirat sebagai tempat kembalinya.

Hendak membentuk kefahaman dan set nilai yang benar dalam kehidupan seorang anak itu bukan suatu yang mudah. Ia perlukan lebih daripada hanya sekadar percakapan dan perbualan. Ia perlukan contoh dan teladan daripada seorang yang bernama ayah.

Berapa banyak institusi kekeluargaan yang rosak pada hari ini hanya kerana seorang ayah yang gagal berperana sebagai seorang ayah?

Saya bersyukur memiliki seorang ayah seperti yang saya miliki sekarang ini walaupun suatu ketika, semasa saya masih kecil, entah sudah beberapa kali saya memberontak di dalam hati dan terasa sudah menyusahkan ayah saya. Di sebalik banyak perkara yang telah ayah saya lakukan di masa lepas untuk saya dan adik-beradik saya, bila diteliti semula, ternyata semua itu adalah latihan untuk membina dan membentuk peribadi kami di hari ini.

Sebab itulah, peranan ayah dalam pembentukan peribadi seorang anak adalah elemen penting dalam institusi kekeluargaan kerana ia adalah tangga menuju kepada pembinaan ummat yang lebih besar.
Baik sesebuah keluarga itu, maka baik jugalah ummat yang terhasil daripada kumpulan-kumpulan keluarga itu.

BELAJAR DARIPADA SEJARAH

Kalau kita teliti semula sejarah, tokoh-tokoh besar itu tidak lahir begitu sahaja melainkan di sebalik kelahirannya itu ada proses besar yang telah dipersiapkan untuknya.

Saya suka petik beberapa sejarah seorang ayah yang telah benar-benar berperanan sebagai ayah dalam kehidupan anak-anak mereka. Mereka adalah ayah-ayah ummat ini.

SEJARAH 1 : SULTAN MURAD, AYAH KEPADA SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Sultan Muhammad Al-Fateh, penakluk Kota Konstantinopel itu memangnya lahirnya terus-terus hebatkah?
Oh, tidak. Sudah tentu tidak.

Kalau kita perhatikan sejarah kelahirannya, beliau adalah seorang yang nakal ketika kecil. Tetapi, lihatlah bagaimana ayahnya mempersiapkannya.

Ayahnya telah menyediakan guru-guru untuk mendidiknya secara khusus ketika beliau masih kecil, bahkan telah memberikan rotan kepada salah seorang gurunya supaya menggunakan rotan itu jika beliau nakal ketika sedang belajar. Ketegasan dan disiplin ayahnya itu telah membentuk peribadi beliau dan mempersiapkan beliau sebagai pemimpin masa depan.

Beliau telah dipersiapkan dengan pendidikan dari pelbagai aspek seperti aspek kerohanian dan keagamaan, geografi, sains, fizik dan pelbagai perkara lagi untuk melengkapkan dirinya sebagai seorang pemimpin sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasul s.a.w.

“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”[HR Ahmad]

Pernah saja beliau dilatih menjadi seorang pemerintah ketika ayahnya masih hidup. Waktu itu umurnya masih lagi belasan tahun. Pengalamannya memerintah ketika itu memberikannya peluang untuk berkenalan dengan banyak perkara dan menyebabkan banyak perkara dapat dilakukannya ketika beliau memegang semula tampuk kepimpinan sewaktu beliau berumur 19 tahun.

Tidak cukup sekadar itu, ayahnya juga turut mendidik  beliau melalui contoh teladan. Ayahnya bukan sekadar mempersiapkan aspek-aspek luaran untuk beliau menjadi sebaik-baik panglima sebagaimana yang disabdakan oleh Rasul s.a.w. itu, tetapi ayahnya juga mempersiapkan aspek dalaman melalui contoh teladan yang kuat daripada ayahnya sendiri. Ayahnya sendiri sudah terlibat dalam usaha membebaskan Kota Konstantinopel namun tidak berjaya.

Tidak berjaya itu tidaklah penting sangat. Yang lebih penting daripada itu adalah semangat dan kesungguhan yang ada pada ayahnya itu untuk merealisasikan janji Rasul s.a.w. itu diwarisi oleh anaknya.

Itulah didikan yang mendatangkan kesan besar. Didikan melalui contoh teladan.

Inilah seorang Sultan Murad. Ayah yang memainkan peranan besar dalam menghasilkan seorang Sultan Muhammad Al-Fateh. Kalau hendak diceritakan kisahnya di sini, memang tidak habis. Jadi, saya bawakan contoh-contoh umum begitu saja.
Mari kita pergi kepada sejarah kedua.

SEJARAH 2 : IMAM HASAN AL-BANNA MEMPERSIAPKAN ANAK-ANAKNYA

Imam Hasan Al-Banna dikenali sebagai tokoh besar  yang mengasaskan Ikhwanul Muslimin di Mesir selepas kejatuhan khilafah pada 1924.

Seorang pengasas kepada sebuah organisasi yang sebesar itu bukanlah ringan dan mudah tugasnya. Seawal penubuhannya, diceritakan telah terbina hampir 200 cawangan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Dengan begitu banyak cawangan yang telah didirikan ini, bukanlah suatu kerja mudah dan tidak ada kesempatan sebenarnya untuk seorang pengasas berehat-rehat dan bersantai-santai. Kerjanya pastilah sangat sibuk.

Walaupun sibuk, IHAB tetap meluangkan masa untuk bersama keluarganya. Tidak pernah dibiarkan keluarganya terabai walaupun beliau sentiasa sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab di luar.

Anaknya sendiri telah menceritakan bagaimana telitinya ayah mereka mendidik dan menjaga mereka adik-beradik sehingga disediakan untuk setiap anaknya itu maklumat yang detail tentang diri mereka masing-masing, tentang prestasi pendidikan mereka, tahap kesihatan mereka, ubat-ubatan yang mereka perlukan, dan apa yang perlu diperbaiki oleh anak-anaknya itu.

Beliau sibuk di luar, tetapi tidak pernah mengabaikan kesempatan masa untuk makan bersama anak-anaknya. Bahkan, dikisahkan oleh Saiful Islam, salah seorang anaknya, ketika dia masih kecil, dia selalu terlupa untuk membawa bekal makanan ke sekolah. Ayahnyalah yang sentiasa datang menghantar.

Di rumah, IHAB telah mempersiapkan perpustakaan untuk masing-masing anak-anaknya untuk menumbuhkan minat membaca dalam kalangan anak-anaknya. Bukan itu sahaja, IHAB turut juga melatih anaknya memilih bahan bacaan yang baik. Pernah sekali salah seorang anaknya itu membaca komik. IHAB tidak langsung menegur sebaliknya menghadiahkan pula buku-buku baru berkaitan dengan sirah dan tokoh-tokoh umat Islam lampau seperti kisah Saidina Umar Abdu Aziz kepada anaknya itu. Ia tidak langsung melarang dan memarahi anaknya, tetapi menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada anaknya itu dengan cara yang mudah diterima anaknya.

Inilah antara sebahagian kisah seorang ayah yang bernama Hasan Al-Banna. Beliau tidak hanya sekadar seorang pendakwah dan seorang mursyidul am kepada Ikhwanul Muslimin di luar rumah, tetapi juga seorang ayah yang baik, seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab, seorang sahabat kepada anaknya.

Di luar beliau adalah contoh, di rumah juga beliau adalah contoh.

PENUTUP : INILAH SEORANG AYAH DALAM KEHIDUPAN

Inilah ayah-ayah kepada ummat. Hidup mereka menjadi contoh teladan kepada anak-anak di dalam keluarga mereka. Mereka berusaha melaksanakan tuntutan Allah s.w.t. dalam surah At-Tahrim :

“Wahai orang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka.”

Mereka berusaha menjaga pendidikan dan masa depan kita dengan baik. Yang memiliki ayah sebegini, bersyukurlah dan teruslah meneguk hikmah darinya. Bila kita miliki kesempatan, luangkanlah masa dan berbicaralah dengan mereka.

Hakikatnya, tidak ramai ayah-ayah sebegini pada hari ini. Contoh-contoh seorang ayah yang baik semakin susut dari masyarakat kita dengan pelbagai gelagat dan akhlak buruk yang diperlihatkan oleh segelintir ayah-ayah kita juga lewat kebelakangan ini. Kita sedih melihat hal ini. Apakah pantas ayah-ayah menunjukkan contoh-contoh seperti itu kepada anak-anak seperti kami?

Tidak mengapalah. Ayah-ayah yang baik masih ramai di dalam ummat ini, cuma saja ia ditenggelamkan oleh sebahagian yang jelek ini. Ambil pedoman dan dekatilah ayah-ayah kita yang baik-baik ini. Tuntutlah pengalaman daripada mereka sebanyak-banyaknya sekiranya mereka masih berada di sekeliling kita.

Seorang ayah adalah inti kepada sebuah perubahan dan pembangunan. Telah berapa banyak ayah selain ayah saya sendiri dalam kehidupan ini yang saya temui memberikan kesan besar kepada perubahan dalam kehidupan saya.

Semoga Allah terus memberikan kekuatan kepada ayah saya dan ayah-ayah kita untuk merealisasikan tugas mereka sebagai ayah-ayah ummat ini, melahirkan lebih ramai hero-hero ummat !
 http://langitilahi.com/8990

Comments

Popular posts from this blog