Ribut Matahari Bukan Kiamat 2012
BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori
kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012
hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3
bilion).
Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun
kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang
mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.
Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi
pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini
terasa bagaikan semakin hampir.
Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat
dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta
darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.
“Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar
normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan
masuk semula ke dalam matahari.
“Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki
atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari,” kata seorang pakar
astronomi tempatan, Shahrin Ahmad.
Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah,
kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh
lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.
Kesan
“Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia
menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali
ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku.
“Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem
telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet,” kata
Shahrin.
Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun
1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh
sama sekali.
“Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh
dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.
“Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan
meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku,” ujarnya.
Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan
menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau
berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan
pelepasan gas beracun radioaktif.
“Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu
sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut
matahari,” tegasnya.
NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun
2012 dan 2013.
Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan
akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina
yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang.
“Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang
bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit,” kata ahli fizik
NASA, Lika Guhathakurta.
Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan
ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai
yang mengambil berat isu tersebut.
“Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain
membahayakan angkasawan.
“Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi
yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak,”
katanya.
Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859
hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi
warna merah.
Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar
utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau
2013.
Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena
ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas
Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi.
“Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat,
Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi,” jelasnya.
Hidrogen
Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di
Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik tidak
dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.
“Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada
pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun lagi, ia
terpulang kepada teori yang kita ada.
“Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang
menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan
kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.
“Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan
akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia,”
katanya.
Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah
Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa
lepas seperti komet atau asteroid.
“Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan atmosfera.
Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah atmosfera bumi
akan termusnah terlebih dahulu.
“Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam
bumi,” katanya.
Crew Fathi : Tak kira lah bila nak berlakunya kiamat.. Tapi yang pasti.. Ia
akan berlaku suatu hari nanti, Marilah kita bertaubat sebelum kiamat berlaku..
Moga Allah S.W.T akan menerima taubat kita semua..
Sumber
Comments
Post a Comment