HUKUMAN JENAYAH TAKZIR DITENTUKAN HAKIM
Berdasarkan Undang-Undang Yang Diluluskan




S – Saya mengikuti kes-kes khalwat di negara ini sejak undang-undang diwujudkan. Saya melihat senario bahawa ada kes-kes di mana Hakim Mahkamah hanya mengenakan denda sahaja, dan ada juga yang mengenakan penjara disamping denda. Kenapa perkara ini berlaku? Tidakkah boleh ia diseragamkan dengan dipenjarakan semua pesalah khalwat? Ia menampakkan seolah-olah hukuman Mahkamah Syariah ini ’low standard’ sangat.

- Warga prihatin

Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 seperti berikut :- Seksyen 29 (1) Mana–mana - (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau mahramnya ; di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Daripada peruntukan di atas, jelas bahawa kesalahan khalwat bukan sahaja melibatkan antara seorang lelaki dengan perempuan, malah juga antara seorang atau ramai lelaki dengan seorang atau ramai perempuan yang bukan muhrimnya. Dan mereka berada samada dalam sebuah rumah, bilik atau mana-mana tempat terselindung (dalam kereta, celah batang pokok dan sebagainya), yang mana keadaan mereka ketika itu boleh mendatangkan syak bahawa mereka sedang melakukan maksiat.

Hukuman yang boleh dijatuhkan ke atas tertuduh adalah dengan salah satu daripada tiga (3) bentuk hukuman yang diperuntukan iaitu samada menjatuhkan hukuman denda tidak lebih RM 3,000.00 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Inilah yang diperuntukkan oleh undang-undang, dan inilah kuasa menjatuhkan hukuman yang diberikan kepada Hakim Mahkamah Syariah. Mereka tidak boleh melangkaui kuasa yang diberikan tersebut. Walaubagaimanapun, berdasarkan peruntukan Seksyen 29 tersebut, Mahkamah mempunyai kuasa budibicara dalam menjatuhkan hukuman secara khusus (penjara sahaja, atau denda sahaja), tidak perlu menurut turutan. Peruntukan tersebut menggunakan perkataan “boleh dihukum”, yang tidak mengikat mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mengikut turutan sebagaimana dalam peruntukan tersebut. Seksyen tersebut juga menggunakan perkataan “atau” yang diertikan sebagai “pilihan”, atau membawa maksud (1. kata yang digunakan untuk menunjukkan atau menyatakan) 2. salah satu di antara beberapa hal (barang, perbuatan dll). Cuma apa yang berlaku, ramai Hakim kita mengambil pendirian mengenakan denda sahaja.

Dalam menentukan sesuatu hukuman, perlu dipertimbangkan adakah ia boleh menjadi iktibar, inzar, pengajaran, peringatan dan balasan bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada semua masyarakat Islam, supaya tidak melakukan kesalahan yang sama seperti tertuduh. Dalam kes yang hukuman ta’zir ini, kuasa mahkamah dalam menentukan hukuman agak luas. Merujuk kitab Al Ahkam As Sultaniyyah dalam muka surat 205 karangan Al-Mawardi menyebut yang maksudnya :-“Ta’zir juga suatu istilah yang kalau disebut secara tunggal akan bermaksud hukuman atau keseksaan. Bagi maksud kesalahan ia perlu disebut kesalahan-kesalahan ta’zir. Sebagai suatu hukuman para fuqaha mendefinisikannya sebagai hukuman atau keseksaan yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syarak dan dilaksanakan samada untuk kepentingan individu atau masyarakat dalam semua kes selain kes hudud dan qisas.”

Dalam Kitab Al-Fiqh al-Islami waadillatuh, Juzu’ 6 halaman 197 pula menyebut “takzir merupakan hukuman yang dikenakan ke atas jenayah atau maksiat yang tidak ditentukan hukuman had atau kaffarah.” Di dalam Kitab At-Ta’zir Fi Al-Syariah Al- Islamiah oleh Dr. Aziz Aamir dalam muka surat 52 menyebut maksudnya : “Fuqaha’ mentakrifkan (takzir) sebagai satu pembalasan yang ditetapkan kadarnya, diwajibkan samada sebagai hak Allah atau hak manusia, di dalam setiap maksiat yang tiada pembalasan had atau kaffarah, mempunyai tujuan yang sama seperti pembalasan had (hudud), iaitu memberikan pengajaran (ta’dib, mengadakan pemulihan (islah) dan mewujudkan ingatan yang menakutkan (zajr)”

Tetapi, dalam memutuskan hukuman terhadap pesalah khalwat ini, Hakim masih tertakluk kepada peruntukan tentang hukuman dalam Seksyen 29 tersebut. Apa yang penting, Hakim perlu pastikan hukuman yang dijatuhkan terhadap seseorang pesalah adalah hukuman yang setimpal, dan boleh dijadikan sebagai panduan dan mendidik tertuduh dan masyarakat Islam awam lain, supaya patuh kepada perintah Allah, Rasul dan pemimpin kita sendiri yang mana kita telah memilih mereka. Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud :- ”Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan pemimpin-pemimpin diantara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka hendaklah kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunnah). Pemimpin yang kita pilih inilah yang membuat undang-undang yang dilaksanakan ke atas kita.

- Jawapan ini disediakan oleh Tuan Musa Awang, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http : www.peguamsyarie.org


http://www.google.com.my/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=8&sqi=2&ved=0CGUQFjAH&url=http%3A%2F%2Fxa.yimg.com%2Fkq%2Fgroups%2F25626944%2F1874349809%2Fname%2FKHALWAT.doc&ei=uyKkUMDkD9DyrQfiwoGADg&usg=AFQjCNGEordq1cmP_1oGxz7fpm_1JUmifQ&sig2=IJC_roLGzFuWGSCNUftDZA

Comments

Popular posts from this blog