Hukum memperkatakan keburukan orang lain
Soalan; Saya khilaf tentang satu
perkara. Dewasa ini banyak fitnah kerana perbezaan fahaman politik. Ada
kawan saya mengatakan ketua A itu peminum arak dan kafir. Apabila saya
katakan tidak mahu mendengar kerana takutkan itu fitnah, beliau
mengatakan kepada saya, menurut ustaz beliau, politik adalah hak
bersama. Semua orang perlu tahu, tidak kisahlah sama ada betul atau
tidak. Tapi bukankah menyebarkan berita yang buruk tentang seseorang
apatah lagi diragui kesahihannya adalah mendatangkan fitnah? Harap ustaz
dapat berikan saya penerangan.
Jawapan;
1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika
keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya –
tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat
(ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang
mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah
(umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah
dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya.
Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis daripada Abu Hurairah yang
menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa
itu ghibah (umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan Rasul-Nya lah yang
paling tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut
tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya
Nabi; "Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan
tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika
ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu
mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya
(dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan
terhadapnya" (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim
al-Ghibah).
2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang
lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan
bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulama
(antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim dan
Riyadhus-Salihin);
a) Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan
kepada pemerintah, kadi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan
keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.
b) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan
pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada
pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan
perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".
c) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang
mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya
Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku
mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".
d) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga daripada
suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura
alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat
dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan
seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa
melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa
kepadanya.
e) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan
seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman
sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya
dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang
dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu
sebab yang lain.
f) Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan
suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram
menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.
Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan
keburukan orang lain kerana mempunyai tujuan yang diharuskan syariat
untuk maslahah yang lebih besar daripada maslahah individu yang
diperkatakan keburukannya.
3. Oleh sebab hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan
dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian
di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;
a) Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa
memperkatakannya atau hanya lahir daripada keinginan nafsunya sahaja.
Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan
ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang
diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja",
batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang
bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.
b) Hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya
akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari
pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.
c) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah
haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.
d) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan
terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau
terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat
peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya
dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya
kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.
Comments
Post a Comment