- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Wednesday, November 14, 2012







Bangkitlah Selepas Bercerai: Apakah itu rumah tangga?
Ustaz Emran Ahmad

Muka Depan Buku Bangkitlah Selepas Bercerai Oleh Ustaz Emran Ahmad.
Muka Depan Buku Bangkitlah Selepas Bercerai Oleh Ustaz Emran Ahmad.
                               
 
IA bukanlah sebuah rumah dan tidak pula tangga yang membawa kita ke tingkat atas. Tetapi, ia adalah satu kata nama bagi merujuk kepada pasangan suami isteri yang telah bersatu di dalam ikatan yang sah lagi halal.

Ikatan inilah yang membezakan antara suami isteri dengan pasangan kekasih. Namun... jika kita boleh bercinta dengan penuh syahdu dan asyik sebelum adanya ikatan yang sah, maka sudah semestinya kita juga boleh melakukan hal yang sama setelah bernikah.


Tetapi... apa yang menghalang kita?


Salah faham mengenai perkahwinan itu telah menyebabkan kita tersilap langkah di dalam menyusun kehidupan rumah tangga. Di dalam Islam, rumah tangga itu boleh dibina oleh semiskin-miskin manusia sehinggalah kepada sekaya-kaya insan kerana ia tidak berkait soal harta, rumah atau tempat tinggal yang mewah.


Ia melibatkan soal perhubungan lelaki dan wanita secara halal serta diikat melalui ikatan ibadat yang dinamakan nikah. Apabila seseorang wanita itu bersetuju untuk menjadi kekasih kepada seseorang lelaki, maka ibu bapanya menyerahkannya dengan mas kahwin semampunya.


Bersamalah mereka menjadi suami isteri atau pasangan kekasih yang halal untuk berbuat apa sahaja di antara keduanya selama dibenarkan syarak.


Begitu mudah Islam ini. Sayangnya, pada hari ini perkahwinan telah bertukar menjadi sebuah momen yang kosong. Teratak indah dibina dengan tujuan untuk bermegah, berbangga atau menjadi tempat bernaungnya si isteri bersama suami... tetapi ia kosong daripada cinta serta kasih sayang. Sebabnya cuma satu... usaha dan aktiviti cinta itu sudah diberhentikan setelah mengikat tali perkahwinan.


Kami telah bernikah. Maka... untuk apa lagi semua itu?


“Telefon siang dan malam, ucapan cinta, kucupan mesra, berpegangan tangan, hadiah ketika hari istimewa dan seumpamanya sudah tidak penting lagi. Mengapa? Sebabnya kami kini sudah bergelar suami isteri dan telah menjadi milik satu sama lain”.


Inilah masalahnya...


Kita beranggapan bahawa perkahwinan itu menjadi penjamin cinta. Kita menganggap jika sudah menikah dan berhubungan badan, maka tiada apa yang perlu ditakutkan kerana si dia sudah menjadi milik yang sah lagi halal. Itulah yang salahnya.


PERKAHWINAN BUKAN JAMINAN KELANGSUNGAN CINTA


Perkahwinan hanyalah alat untuk menghalalkan hubungan lelaki dan wanita supaya menurut syarak. Ia juga menjadi tapak untuk dua insan menjalin perhubungan bagi meneruskan hidup dengan cara yang diredhai ALLAH Maha Pengasih.


Untuk mengekalkan cinta selepas berkahwin, pasangan perlu berterusan menyuap rasa itu dengan pelbagai aktiviti yang dibuat bersama. Inilah yang menjadi pemangkin dalam membawa dan membina kasih sayang.


Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perkahwinan selalunya menjadi pembunuh serta penamat bagi kisah-kisah kebahagiaan dan keseronokan bercinta antara pasangan suami isteri. Malah, ada di kalangan orang muda berpendapat yang bercinta itu lebih seronok tanpa adanya ikatan perkahwinan. Persepsi ini wujud ekoran salah faham terhadap konsep perkahwinan.


Hubungan kelamin dilaksanakan hanyalah sebagai nafkah batin kerana ia suatu kewajipan, bukannya disebabkan oleh keghairahan atau kesukaan pasangan. Isteri tidak lagi berhias untuk suami seperti sebelum berkahwin. Suami pula tidak lagi mempedulikan penampilannya di hadapan isteri sama seperti sewaktu bercinta dahulu.


Anak-anak yang sepatutnya adalah alat pengikat kasih serta cinta bertukar menjadi beban dan tanggungjawab yang memisahkan suami isteri. Masing-masing saling menyalahkan kerana tidak memandang anak-anak sebagai hasil cinta tetapi bebanan dan kewajipan semata-mata. Perbualan yang dahulunya tentang peristiwa manis yang dilalui bersama, kini bertukar menjadi perbalahan bersangkut hak dan tanggungjawab.


Sikap mementingkan diri sendiri bagi pasangan yang berkahwin sama sekali tidak membantu dalam menyelesaikan konflik rumah tangga. Mata hanya memandang salah pasangan. Menjadi kebiasaan bagi mana-mana pasangan yang bertengkar untuk tidak menyalahkan diri sendiri.


Amat sukar sekali untuk kita temui di dalam perbalahan itu ucapan meminta maaf, ungkapan “mari kita cuba sekali lagi” dan percakapan yang berbentuk membina, memperbaiki keadaan atau memberi ruang kepada pembaikan.


Pernah seorang isteri yang didamaikan oleh saya meletakkan banyak syarat kepada suaminya, “Kalau abang boleh buat, beri, ubah sekian dan sekian” maka barulah dia akan menerimanya kembali. Demikianlah juga si suami yang berkata bahawa isterinya ini tidak pandai itu, tidak boleh ini, tidak mampu, tidak pernah dan segala macam tidak.


Mengapa masing-masing hanya melihat kelemahan orang lain?


Ingatlah... di dalam situasi ini, insan yang disalahkan ialah pasangan yang pernah kita lafazkan ucapan cinta, sayang dan tidur bersama sehingga memperolehi zuriat.


Ke manakah hilangnya perasaan cinta itu?


Siapakah dan apa yang telah membawa pergi cinta kalian?


Akhirnya, saya berpesan kepada isteri tersebut supaya membuat beberapa perubahan pada dirinya sendiri. Saya katakan yang pokok pertama kepada kebaikan dan penyelesaian masalah itu terletak pada sabar.


Kesabaran serta ketenangan akan membuahkan hasil lumayan dan membawa kebaikan yang melimpah ruah kepada kita. Ini kerana kita dapat membuat penelitian, kajian dan menilai semula segala perbuatan dengan akal yang tenang, waras serta mampu berbuat sebarang usaha yang difikirkan mampu memperbaiki keadaan rumah tangga.


Adakalanya, punca masalah rumah tangga itu terselindung pada pandangan mata kerana ia berkait dengan hati dan perasaan. Ia tidak semudah pandangan mata yang dapat melihat secara terus. Oleh itu, bersabar dan bertenanglah sambil berusaha mencari punca sebenar kepada permasalahan yang berlaku.


Pada isteri tersebut, saya berpesan supaya mengenang kembali cinta dan kasih kepada suaminya. Juga berusaha untuk memahami perasaan dan kehendak si suami, bukan menyoal siasat segala tindakannya.


Jangan ditanya apakah masalahnya kerana dia bukanlah bos atau pengawai penyiasat polis. Tukarlah rumah itu menjadi pusat ketenangan serta tempat berehat bagi suami dan jadikan dirinya sebagai bidadari yang menghiburkan hatinya.


Pada mulanya dia membantah. Namun, saya mengajaknya untuk mencuba agar bersabar selama sebulan. Alhamdulillah... akhirnya dia pun bersetuju. Dia menuruti nasihat dan tunjuk ajar saya untuk kurang bercakap dengan suami, berlemah lembut, tidak membantah atau berleter sebaliknya lebih banyak mendiamkan diri.


Dia memakai pakaian tercantik yang dimilikinya. Anak-anak diurus atau ditidurkan sebelum kepulangan suami agar masa bersama dapat dimanfaatkan untuk berehat di rumah dalam keadaan tenang dan sunyi.


Di  bilik tidur, dia berhias secantik yang mungkin dan tidak  mengganggu suaminya. Dia tekun membaca buku bertajuk ‘Mencari Pasangan Hidup’ di atas katil tanpa menganggu suami yang kepenatan di sisinya.


Seminggu berlalu...  namun tiada perubahan berlaku. Suaminya masih seperti dahulu, kerap mengunjungi kawannya pada waktu malam atau jarang pulang ke rumah. Setelah hampir sebulan dia mengubah sikapnya, suatu perkara yang mengejutkan telah berlaku.


Pada suatu pagi, tiba-tiba suaminya itu mengajaknya untuk bersama. Dan bermula saat itu, suaminya tidak pergi ke mana-mana. Suaminya semakin jarang menghabiskan masa di luar rumah. Dia kini lebih suka duduk di rumah bersama isteri dan anak-anaknya atau membawa mereka keluar berjalan-jalan.


Wanita itu menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih dengan penuh perasaan serta memuji-muji kerana telah membantu menyelesaikan masalah rumah tangganya. Saya menjawab bahawa yang layak dipuji hanyalah ALLAH. Sesungguhnya, kadang-kadang masalah besar yang berlaku adalah disebabkan oleh punca yang kecil..
.

 http://www.sinarharian.com.my/buku/bangkitlah-selepas-bercerai-apakah-itu-rumah-tangga-1.103521
1
2


 

No comments:

Post a Comment