Siapa Orang yang Bertaqwa

pr0065
Kebanyakan orang tidak faham apa sebenarnya taqwa. Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang taqwa tidak pernah diajar. Jalan untuk mendapatkan taqwa tidak pernah diberitahu. Syarat-syarat dan rukun-rukun taqwa juga tidak pernah dinyatakan. Orang sudah lali dengan per­kataan taqwa. Sesetengah orang menganggap perkataan taqwa itu sudah tidak ada erti apa-apa lagi kerana kebanyakan orang tidak faham.

Sebab itu, setiap kali disuruh bertaqwa, orang tidak ber­taqwa. Disebut Ittaqullah, ‘bertaqwalah kamu kepada Allah’, namun orang tidak bertaqwa juga. Walhal suruhan supaya bertaqwa itu disebut dalam setiap khutbah sembahyang Jumaat kerana ia adalah rukun khutbah. Kalau tidak disebut taqwa, tidak sah sembahyang Jumaat walaupun sembahyang khusyuk. Tetapi walaupun selalu disebut, orang tidak faham. Ia tidak jadi ilmu, ia tidak jadi amalan dan pegangan, jauh sekali untuk dihayati. Oleh itu macam mana hendak jadi orang yang bertaqwa.

Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan mening­galkan larangan. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauh­kan kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat mening­galkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu. Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada Allah. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja dan bukan setakat beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada Allah semata-­mata.

Inilah kupasan dan kefahaman tentang taqwa yang dibawa oleh para ustaz, para muallim, orang yang hafaz Quran dan Hadis bahkan juga para mufti dan kadhi. Taqwa itu tersangat dipermudahkan sehingga orang tidak merasakan bahawa taqwa itu penting dan perlu diperjuangkan demi untuk mendapat ke­selamatan di dunia dan Akhirat. Maksud taqwa sebenarnya lebih dalam dan lebih luas dari itu. Taqwa adalah antara perkara yang terpokok dalam agama.

Orang membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang atau orang menunaikan ketaatan dan menjauh­kan kemaksiatan, tidak semestinya berasaskan taqwa. Mereka taat mungkin kerana ada sebab-sebab lain. Mungkin mahu upah, mahu dipuji, mahu pengaruh atau untuk mengambil hati orang. Mereka meninggalkan apa yang dilarang pun mungkin ada sebab-sebab lain. Mungkin kerana mahu dihormati, mahu menjaga nama dan kedudukan, takut dihukum, takut orang mengata dan menghina atau takut dipulaukan orang.

TAKRIF

Bila disebut taqwa, orang terjemah sebagai takutkan Tuhan. Itu tidak betul. Taqwa bukan bererti takut. Taqwa pada Tuhan bukan bererti takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya.

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat Al Quran seperti berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hen­daklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” (At Tahrim: 6)

Di dalam Al Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi. Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu  hen­daklah jadikan Tuhan itu pelindung. Jadikan Tuhan itu kubu atau benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari ke­jahatan.

Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan per­kara-perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan kata-kata yang lain, perkara yang disuruh itu ialah membina sifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.

Taqwa atau wiqoyah telah disalahertikan. Maksudnya telah disempitkan. Ia sebenarnya adalah lebih global dan luas. Ia adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemurah, ber­kasih sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf dan se­bagainya. Seluruh sifat mahmudah itulah taqwa. Jadi, besarlah erti taqwa. Ia membawa keselamatan dunia dan Akhirat.

Oleh itu, kalau dikatakan ittaqullah, maknanya yang sebenar ialah ‘hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara’. Oleh sebab istilah-istilah Islam telah banyak disalah guna dan disalahertikan, maka hilang berkatnya. Bila disebut istilah­istilah Islam, tidak terasa apa-apa. Contohnya ialah perkataan ‘khalwat’. Maksudnya mulia iaitu menyendiri dengan Tuhan. Ia satu bentuk amalan sufi. Tetapi maksudnya itu telah diselewengkan dengan membawa erti ‘berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi’. Begitulah juga istilah ittaqullah ini. Setiap minggu pada hari Jumaat, dilaung-laungkan di mimbar masjid tetapi para jemaah tidak terasa apa-apa. Berkat­nya telah hilang kerana maksudnya telah disalahertikan.

Untuk menjadi orang yang bertaqwa ertinya menjadi orang yang berada dalam perlindungan Tuhan atau dalam peme­liharaan Tuhan. Orang yang berada dalam benteng dan kubu Tuhan. Dia selamat dari serangan luar. Serangan luar tidak lut dan tidak mengenai dirinya. Orang bertaqwa itu seolah-olah telah dipakaikan baju besi atau jaket kalis peluru.

Taqwa adalah pakaian jasad batin atau roh. Ia adalah amalan jiwa atau roh. Taqwa adalah perkara dalaman dan banyak me­libatkan amalan hati. Kalau sungguh-sungguh diamalkan dan dihayati, akan lahir sifat-sifat mahmudah seperti jujur, adil, benar, berkasih sayang, lemah lembut, pemurah, tawadhuk, pemalu, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf, amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati, belas kasihan dan sebagainya.

Orang yang bertaqwa adalah orang yang luar biasa. Sebab dia manusia yang sudah bersifat malaikat. Sifat malaikat sudah ada dalam dirinya. Dia sudah jadi orang Tuhan. Sebab itulah dia dibantu dan dibela oleh Tuhan. Orang bertaqwa sahaja yang akan selamat di dunia dan di Akhirat.

ASAS TAQWA

Asas taqwa yang lahir bermula dari aqidah yang betul diikuti dengan sembahyang, puasa, zakat dan naik haji. Itu adalah asas taqwa. Kalau asas taqwa ini tidak ada ertinya kita tidak ada benih untuk ditanam. Kalau tidak ada benih, masakan akan ada pokoknya. Amalan-amalan yang lain adalah sebagai tambahan.

Asas taqwa yang batin ialah rasa kehambaan yang sungguh mendalam. Di antaranya rasa serba-serbi dhaif, lemah, hina, lalai dan leka di sisi Allah SWT. Rasa diri benar-benar dimiliki oleh Allah. Rasa diri tidak punya apa-apa.

Diri yang rasa lemah itu sangat merasakan ianya terdedah kepada berbagai kerosakan dan cacat cela. Tiada daya, tiada upaya dan tidak mampu berbuat apa-apa. Rasa kehambaan yang mendalam ini menjadikan hati penuh pasrah, merintih, mengharap dan memohon setiap sesuatu itu hanya dari Allah.

CIRI-CIRI TAQWA

Di antara ciri-ciri taqwa adalah:
1.      Ingat dua perkara
2.      Lupa dua perkara
3.      Menyukai apa yang Allah suka
4.      Membenci apa yang Allah benci

1. Ingat Dua Perkara

a. Pertama: Kebaikan, jasa dan budi orang kepada kita perlu diingat selalu dan sekiranya berpeluang, maka eloklah disebut-sebut dan dibalas walaupun balasan itu tidak se­timpal dengan jasa dan budi orang itu kepada kita. Itu terhadap kebaikan dan jasa manusia.

Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dan mensyukuri segala nikmat dan limpah kurnia Allah SWT kepada kita yang tidak terhingga banyaknya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda
bersyukur).” (Adh Dhuha: 11)

Ini supaya kita terasa terhutang budi dan berterima kasih kepada orang yang berbuat baik dan berjasa kepada kita. Tentulah terhadap Allah, lebih-lebih lagi patut kita rasakan sedemikian. Memang patut kita taat dan bersyukur kepada Allah, dengan membuat amal kebajikan biarpun segala amalan itu tidak mungkin setimpal dengan kurniaan Allah.

b. Kedua: Kesalahan kita kepada orang lain hendaklah sentiasa kita ingat dan kita minta maaf daripadanya. Ingat selalu tentang kesalahan diri agar kesalahan itu tidak diulangi. Rasa bersalah itu penting kerana rasa itulah yang mendorong kita meminta maaf. Itu terhadap kesalahan kita terhadap sesama manusia.

Lebih-lebih lagilah kita perlu ingat dosa-dosa dan keder­hakaan kita kepada Allah. Kita iringi ingatan kepada dosa­dosa itu dengan bertaubat. Kekalkan rasa berdosa itu supaya kita terhindar dari terbuat dosa-dosa yang lain dan hati kita sentiasa takut dan berharap agar Allah ampunkan dosa kita.

2. Lupa Dua Perkara

a. Pertama: Lupakan segala budi, jasa dan kebaikan kita kepada orang. Jangan diungkit-ungkit dan dikenang-kenang. Kem­balikan segala kebaikan yang kita buat itu kepada Allah. Rasakan seolah-olah kita tidak pernah berbuat baik kepada orang.

Lebih-lebih lagi, kita kena lupakan segala amal ibadah yang telah kita buat kepada Allah. Jangan diungkit-ungkit atau dikenang-kenang. Rasakan seolah-olah kita tidak beramal. Dengan itu moga-moga hati kita tidak dilintasi oleh rasa ujub, sum’ah atau riyak atau rasa diri baik dan mulia.

b. Kedua: Lupakan kejahatan orang terhadap diri kita. Anggap­lah seolah-olah tidak ada siapa yang bersalah dengan kita supaya tidak tercetus rasa marah atau dendam terhadap orang.

Lebih-lebih lagi hendaklah kita lupakan segala kesusahan, ujian, musibah atau mala-petaka yang Allah timpakan kepada kita seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan dan kegagalan. Atau banjir, kemarau, ribut taufan, tsunami, wabak penyakit, kemelesetan ekonomi dan sebagainya. Supaya tidak tercetus perasaan tidak sabar dan tidak redha dengan ketentuan Allah.

3. Menyukai Apa Yang Allah Suka

Yakni kesukaan kita hendaklah selari dengan kesukaan Allah. Kita buat apa sahaja perbuatan dan amalan menurut apa yang disukai Allah. Ini mudah kalau apa sahaja yang Allah suka, kita pun suka. Bukan soal sesuatu amalan itu kecil atau besar, fardhu, wajib atau sunat tetapi asalkan Allah suka, kita pun suka dan akan membuatnya. Itu cara kita hendak meng­hiburkan Allah. Itu manifestasi dari cinta kita yang menda­lam kepada Allah. Seseorang itu akan menyukai apa sahaja yang disukai oleh orang yang dicintainya.

Soal amalan fardhu, wajib atau sunat sudah tidak jadi per­timbangan. Semua amalan yang Allah suka akan kita buat. Ia bukan juga soal mendapat pahala atau fadhilat. Ia lebih kepada hasrat untuk menyatakan dan membuktikan cinta dan kehambaan kita kepada Tuhan.

4. Membenci Apa Yang Allah Benci

Yakni kebencian kita hendaklah selari dengan kebencian Allah. Kita tinggalkan apa sahaja perbuatan dan amalan menurut apa yang dibenci oleh Allah. Ini mudah kalau apa yang Allah benci, kita pun benci. Nafsu pasti mendorong untuk berbuat apa yang Allah benci kerana nafsu itu suka kepada apa yang Allah benci dan benci kepada apa yang Allah suka. Tetapi fitrah tetap kuat dan teguh. Fitrah yang suci murni itu, wataknya berlawanan dengan watak nafsu. Ia suka kepada apa yang Allah suka dan benci kepada apa yang Allah SWT benci. Nafsu tidak dapat mengalahkannya kerana rasa bertuhan dan rasa kehambaannya yang men­dalam.

AMALAN TAQWA

Amalan taqwa pula bukan setakat apa yang terkandung di dalam rukun Islam seperti puasa, zakat, haji dan sembahyang sahaja. Bukan setakat membaca Quran atau berwirid dan berzikir sambil menggentel biji tasbih. Bukan juga bersuluk dan beruzlah menjauhkan diri dari orang ramai. Amalan taqwa bukan sahaja di surau atau di masjid.

Amalan taqwa adalah apa sahaja amalan dan perbuatan di dalam kehidupan yang berlandaskan syariat sama ada yang fardhu, wajib, sunat atau harus atau apa sahaja amalan dan perbuatan yang dijauhi dan ditinggalkan sama ada yang haram atau makruh yang dibuat berserta rohnya iaitu ada batinnya, penghayatan dan penjiwaannya. Dengan kata-kata yang lain, ada terkait dengan akal, roh dan terhubung dengan Allah, dibuat kerana Allah dan mengikut cara yang Allah mahu.

Ini termasuklah segala perkara yang berlaku dalam ke­hidupan baik dalam kehidupan seharian, dalam bidang eko­nomi, pembangunan, pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, ketenteraan, kesihatan dan sebagainya. Asalkan apa yang dibuat atau ditinggalkan itu berkait dan kerana Allah maka itulah taqwa. Amalan yang tidak berkait dan tidak dibuat kerana Allah, itu adalah amalan bangkai yang tidak ada nyawa, jiwa atau rohnya. Ia tidak sampai kepada Allah dan tidak ada apa-apa nilai di sisi-Nya.

Bercakap boleh jadi taqwa kalau apa yang dicakapkan itu adalah ilmu, nasihat atau perkara-perkara yang baik dan manfaat dan dibuat kerana Allah. Diam juga boleh jadi taqwa kalau diam itu untuk mengelakkan dari berkata-kata perkara yang maksiat dan sia-sia atau supaya tidak menyakiti hati orang dan dibuat kerana takutkan Allah.

Dalam Islam, di samping ibadah lahir, ada banyak ibadah batin atau ibadah yang bersifat rohaniah. Ibadah lahir banyak syarat rukun dan sah batalnya. Tetapi ibadah batin tidak mengira tempat, waktu, masa, suci atau berhadas, haul atau nisabnya. Ia boleh dilakukan bila-bila masa. Ini termasuklah bertafakur, muhasabah diri, musyahadah, mujahadah, bertaubat, merintih dengan Tuhan, sabar dalam menanggung sakit, ujian, musibah, cacian, kehinaan dan makian orang, menyuburkan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan dan berzikir di hati. Ini se­mua adalah amalan rohani yang boleh menghasilkan taqwa.

ARAHAN SUPAYA BERTAQWA

Allah SWT berfirman:Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah sejauh yang termungkin.” (At Taghabun: 16)

Sejauh yang termungkin di sini bermaksud turun naik nafas mesti dijadikan taqwa. Mendengar, melihat, makan minum, berjalan, berhibur, semuanya mesti dijadikan amalan taqwa. Jangan ada satu hembusan nafas yang tidak jadi taqwa. Jangan ada seulas nasi yang tidak jadi taqwa. Jangan ada satu pen­dengaran atau satu penglihatan yang tidak jadi taqwa. Malahan jangan ada satu apa pun dalam hidup ini yang tidak membawa kepada taqwa. Itulah maksud sejauh yang termungkin dalam mengusahakan taqwa.

BERAMAL UNTUK MENAMBAH TAQWA

Firman Allah SWT:Maksudnya: “Hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah sifat taqwa.” (Al Baqarah: 197)

Di sini Tuhan menyuruh kita supaya sentiasa menambah sifat taqwa. Kerana sifat taqwa ini adalah bekalan kita di Akhirat. Ia juga untuk mendapat bantuan Tuhan di dunia dalam berbagai bentuk. Itulah yang merupakan khawariqul ‘adah. Kalau di zaman Rasulullah SAW dikatakan mukjizat. Kalau bukan di zaman Rasulullah dikatakan keramat atau berkat atau rahmat dari Tuhan.

Seperti yang pernah berlaku dan dipaparkan dalam sejarah, dalam peperangan, umat Islam yang sedikit boleh mengalahkan musuh yang ramai, atau mendapat rezeki dari sumber yang tidak diduga dan lain-lain lagi contoh yang banyak berlaku di kalangan para Sahabat. Itu di dunia, tetapi yang paling utama ialah di Akhirat.

Tuhan sebut dalam firman-Nya di atas, hendaklah kita sen­tiasa menambah bekalan iaitu sifat taqwa. Kita disuruh mem­bangunkan aset di Akhirat sambil mendapat pertolongan dan bantuan Tuhan di dunia. Menambah sifat taqwa ini mestilah di atas landasan syariat. Yang asas-asasnya ialah sembahyang (solat), puasa, zakat dan naik haji. Itu asas atau tapak untuk menambah taqwa.

Selain yang asas ini, banyak lagi yang lain. Mungkin di atas landasan fardhu kifayah, di atas landasan perkara-perkara sunat dan hal-hal yang harus. Walaupun asalnya harus, tetapi kalau kita pandai mengikut ilmunya, yang harus pun boleh menam­bah sifat taqwa.

Seperti yang disebut di atas, menambah sifat taqwa mesti di atas landasan syariat. Sebagai contoh yang mudah, yang dapat dilihat oleh mata sebab ia dilaksanakan oleh lahiriah kita ialah seperti membangunkan ekonomi. Mengapa kita bangunkan ekonomi? Dalam Islam, berekonomi bukan untuk mencari untung, walaupun di situ ada untung. Kita berekonomi untuk menambah sifat taqwa. Tetapi kebanyakan orang berniaga dan berekonomi untuk tujuan komersial dan untuk mendapat untung. Itu tidak betul. Untung itu datang sendiri. Jadi sebenar­nya berdasarkan ayat tadi, hendaklah kita berekonomi untuk menambah bekalan dan bekalan di sini ialah sifat taqwa.

Dalam Islam kita berniaga untuk menambahkan lagi sifat taqwa. Berniaga itu ibadah. Ia samalah dengan ibadah-ibadah yang lain seperti sembahyang, hanya ia berbentuk umumiah. Kita berkebudayaan, hendak menambah lagi sifat taqwa. Kita bangunkan jemaah, moga-moga dengan jemaah itu dapat membangunkan lagi sifat taqwa. Kita bekerjasama, mengajar, bangunkan pendidikan, maka di situlah kita dapat menambah sifat taqwa. Kita bangunkan kesihatan, klinik dan sebagainya, moga-moga dari situlah kita dapat menambah sifat taqwa. Kita berdakwah, buat perhubungan, semoga dapat menambah sifat taqwa. Kita nikah kahwin, berkeluarga, beranak cucu, moga­moga dari situ dapat menambah lagi sifat taqwa. Kalau di­campur-campur banyaklah jumlahnya. Itu semua adalah iba­dah yang boleh mendatangkan taqwa.

Janganlah kita mencari taqwa di atas syariat yang terbatas seperti yang terkandung di dalam rukun Islam yang lima itu sahaja. Itu hanya asasnya sahaja. Banyak lagi cabang-cabang dan ranting-rantingnya. Banyak lagi perkara yang boleh dijadi­kan ibadah. Jangan berwirid, berzikir, baca Al Quran dan duduk­duduk di dalam masjid dan di surau sahaja. Sebenarnya seluruh tindakan lahir dan aktiviti kita dalam kehidupan ini walaupun yang harus, itu adalah syariat. Angkat tangan, pandang sana, pandang sini, hayun kaki, itu semua termasuk syariat. Maka moga-moga dengan mengamalkan seluruh syariat itulah kita akan dapat menambah sifat taqwa. Sifat taqwa banyak di tengah-tengah kehidupan. Bukan di masjid atau di surau sahaja. Membantu orang, bersatu padu, berkasih sayang, menyelesai­kan masalah orang dan berkerjasama, itu semua adalah amalan taqwa.

Kalau benda atau syariat itu dianggap kecil, maka kecillah sifat taqwanya. Kalau dianggap besar, maka besarlah sifat taqwanya. Dari situlah malaikat akan tulis pada kitab amalan kita. Kitab amalan itu akan dibagi kepada kita, digantung di leher di Padang Mahsyar nanti. Setiap orang akan ada catatan amal­nya. Masing-masing akan bawa. Yang tukang baca ialah kita sendiri. Barulah kita faham bahawa menambah sifat taqwa itu adalah di atas segala usaha dan aktiviti kita. Di atas penglihatan, pendengaran, gerakan tangan, gerakan kaki ke tempat-tempat yang kita pergi. Malahan ia berlaku dalam apa sahaja aktiviti hidup kita. Di situlah kita akan dapat taqwa.

(Sumber: Insan Pendakwah)

Comments

Popular posts from this blog