Pilihanraya – Mengenali calon pemimpin boleh menang

 

Isu calon boleh menang menjadi perbincangan hangat masa kini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13). Semua parti politik mahu memastikan hanya calon ‘bersih’ sahaja yang patut diketengahkan. Perkara ini amat penting dalam menilai jangka hayat sesebuah parti politik yang akan berkuasa atau yang mahu meneruskan kuasa. Dahulu, kita selalu dengar kata-kata, ‘kalau letakkan tunggul kayu pun boleh menang’. Tetapi kini, tidak lagi. Usahkan tunggul kayu, orang alimpun belum tentu menang. Ledakan teknologi dan informasi menjadikan rakyat semakin bijak untuk menilai dan memilih.

Saya menjadi lebih teruja mengulas isu pemimpin hidup mewah sehingga rakyat menjadi jelek seperti kata Tun Dr. Mahathir. Inilah isu besar yang perlu dimuhasabahkan. Ini bukan bermakna kita tidak boleh jadi kaya atau hidup mewah, tetapi biarlah wang itu datang dari usaha sendiri, bukan dari jerih perit orang lain atau wang hasil rasuah dan sebagainya.

Lihatlah contoh Nabi Muhammad dan para sahabat. Kesemua mereka adalah pemimpin negara. Adakah mereka hidup senang lenang dan kaya raya? Jawapannya tidak, sebahagian besar wang dan harta mereka digunakan untuk rakyat. Bukan untuk membesar perut dan menambah isteri. Golongan ini pergi menemui Allah SWT dalam keadaan sehelai sepinggang. Tidak ada banyak harta untuk diwarisi atau ditinggalkan. Bukan seperti kita, jadi wakil rakyat sepenggal, harta boleh diwarisi dari generasi ke generasi.

Dari mana mereka memperolehi wang sebanyak itu, sedangkan gaji wakil rakyat tidaklah seberapa. Sebab itu, saya setuju jika gaji atau elaun wakil rakyat dinaikkan. Sekurang-kurangnya dapat juga membendung sedikit gejala rasuah. Jika tidak, wakil rakyat ini akan sentiasa mencari funder untuk menambah pendapatan. Timbal baliknya, funder akan dianugerahkan projek dan tender.

Kadangkala hairan juga memikirkan bagaimana wakil rakyat ini boleh hidup mewah, jika tidak ada pendapatan tambahan. Jangankan masuk ke rumah, melihat keretanya sudah mencukupi. Jika wakil rakyat tersebut berjawatan logik juga. Kadangkala yang tidak berjawatanpun boleh hidup mewah, sedangkan sebelum jadi wakil rakyat kehidupannya serba sederhana.

Ramai yang mencadangkan supaya wakil rakyat dicalonkan dipilih dari kalangan orang kaya, yang sudah biasa dengan wang, supaya mereka tidak terkejut apabila melihat wang. Maka tidak berlakulah rasuah. Perkara ini ada kebenarannya, kerana hari ini kita pantang lihat wang selonggok, kelabu mata. Namun, pada hemat saya, sama ada calon boleh menang kaya atau miskin, tidaklah menjadi kriteria utama, yang penting mereka yang mahu menjadi pemimpin mesti ikhlas. Rakyat mesti dahulukan, pencapaian mesti diutamakan, itulah kata-kata yang mesti disematkan di hati seperti tagline gagasan 1Malaysia.

Ingatlah wahai para pemimpin, kepemimpinan itu satu amanah yang akan dihitung oleh Allah SWT. Ada perkiraan dunia akhirat. Rasulullah SAW memberi ingatan kepada Abu Dzar ketika beliau meminta jawatan. Kata Abu Dzar: “Wahai Rasulullah! Tidakkah Tuan memberi jawatan kepada saya”. Baginda seraya berkata: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah. Sesungguhnya jawatan pada hari kiamat itu merupakan kerugian dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dengan penuh bertanggungjawab” (Riwayat Muslim dan Abu Daud).

Berapa ramai kalangan kita yang mengambil iktibar riwayat hadis tersebut? Berapa ramai yang faham maksud amanah dalam berpolitik? Imam al-Ghazali memberikan beberapa ingatan kepada para pemimpin dalam menjalankan amanah besar ini.

Pertama, pemimpin hendaklah meletakkan dirinya supaya bersesuaian dengan semua aliran dan golongan rakyat walaupun berlaku perbalahan di antara mereka.

Kedua, Pemimpin hendaklah tidak menghampakan orang yang datang kepadanya untuk mendapatkan keadilan.

Ketiga, pemimpin hendaklah mengelakkan diri dari melakukan pembaziran atau hidup mewah yang keterlaluan, kerana akan menyebabkan keadilan sukar ditegakkan.

Keempat, pemimpin hendaklah bersikap terbuka dan lemah lembut, bukan bersifat ganas dan kasar dalam pentadbirannya.

Kelima, pemimpin hendaklah menjadikan agama sebagai landasan pentadbirannya.

Keenam, pemimpin tidak sepatutnya tunduk kepada desakan sesiapapun dalam menegakkan keadilan.

Ketujuh, pemimpin hendaklah menjaga kebaikan rakyatnya sama seperti dia menjaga kebajikan diri sendiri.

Kelapan, pemimpin hendaklah berusaha berdamping dengan rakyat dan menggalakkan mereka menyuarakan hak-haknya.

Kesembilan, pemimpin hendaklah mengawasi kakitangan, hakim dan pegawai-pegawai yang lain supaya mereka menjalankan masing-masing dengan jujur dan amanah.

Kesepuluh, pemimpin hendaklah menggunakan mandat yang diperolehi untuk mencapai tujuan yang baik.

Pendapat al-Ghazali turut dikongsi sama oleh sarjana dan ahli falsafah bukan Islam seperti Plato, Aristotle, Rousseau, Confucius dan Mencius. Apa yang membezakannya hanyalah dari sudut matlamat yang ingin dicapai. Kepimpinan politik dalam Islam bermatlamat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT ketika menjalankan amanah besar ini.

Manakala, orang bukan Islam jarang membincangkan pentingnya agama dalam kehidupan. Mereka lebih mementingkan hak asasi manusia, berbanding hak Tuhan. Akhirnya, berlaku kepincangan sosial yang amat sukar untuk diubati. Misalnya, pemimpin negara Eropah hari ini sudah mula mengeluarkan kenyataan mengharamkan hubungan seks atau persetubuhan haram antara manusia dengan binatang yang sebelum ini dibenarkan.

Justeru, semua kriteria ini sepatutnya menjadi Key Performance Indicator (PKI) dalam mencari calon yang boleh memberi kemenangan dalam pilihan raya. Ditambah lagi, calon boleh menang mestilah seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, sanggup berkorban masa dan tenaga demi agama, bangsa dan negara. Lebih penting lagi, mereka mestilah sentiasa menghubung dirinya secara langsung dengan Allah SWT supaya tingkah lakunya sentiasa terkawal atas batas-batas yang telah ditetapkan.

Calon boleh menang perlu mengambil iktibar, ramai di kalangan pemimpin beberapa buah negara yang menggunakan kuasa yang dimiliki, bertindak sesuka hati, seperti di Mesir dan Libya, telah menerima hukuman setimpal. Pemimpin yang membiarkan rakyat hidup menderita, sementara mereka hidup senang-lenang dan menimbun harta, tidak akan kekal lama.

Mereka yang hanya berlagak dengan jawatan sebagai lambang kekuasaan, keunggulan dan kebesaran sahaja, tanpa mahu melihat ke bawah, akan tewas. Sudah sampai masanya kriteria calon boleh menang dilihat secara serius oleh semua kepemimpinan parti-parti politik demi masa depan negara. Manakala, rakyat pula patut menggunakan hak yang ada untuk memastikan calon boleh menang dipilih kalangan yang benar-benar berwibawa dan berkualiti.
Posted By Prof Dr Ridhuan Tee

 http://fitrahislami.wordpress.com

Comments

Popular posts from this blog